Tiga bulan lebam, rambut beruban - Utusan Malaysia

Tiga bulan lebam, rambut beruban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU dua minggu ditayangkan, namun drama Keluarga Itu arahan Erma Fatima mendaki perhatian.

Beberapa klip adegan godaan ustazah jadian dan anak yang merana kerana keluarga serba hipokrit mula membanjiri media sosial.

Tidak semua boleh menerima pendekatan Erma Fatima dalam skrip terbaharunya yang dianggap terlalu berani hingga ada yang tidak selesa ia disiaekan di waktu perdana.

Bagaimanapun, beberapa penonton mula membela drama tersebut mengakui ia kejadian benar dan mereka adalah mangsa daripada ayah bernafsu binatang.

Memegang karakter Dhamiah, pelakon, Puteri Balqis mengakui ia adalah karakter yang paling berat dilakonkannya sepanjang kerjaya.

Dhamiah bukan hanya seorang anak yang memberontak tetapi jiwanya penuh dengan emosi dan air mata.

“Bayangkan, kalau kita menangis sekejap pun sudah penat. Tapi dalam drama ini, saya perlu menangis setiap hari sepanjang penggambaran yang memakan masa selama tiga bulan. Satu cabaran untuk saya mencari sebab dan cara untuk menangis.

“Karakter ini begitu berat sehingga rambut saya tumbuh uban selepas penggambaran akibat terlalu stres.

“Selepas tamat penggambaran. Mengejutkan juga apabila saya mudah untuk keluarkan karakter ini daripada diri saya. Mungkin sudah tiga bulan menjadi Dhamiah sampai saya penat nak bawa,” katanya ketawa ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Televisyen Asia 2014 ini juga mendedahkan turut mengalami lebam dan cedera di tangan kerana melakukan adegan tegang.

“Hari pertama penggambaran ialah adegan di episod ketiga di mana Dhamiah jumpa Aman lakonan Amir Ahnaf.

“Hari pertama bekerja dengan Amir pun saya sudah lebam. Sepanjang tiga bulan saya balik rumah, tidak pernah badan ‘bersih’, mesti ada lebam di sana dan sini.

“Babak yang saya tumbuk dinding ada koyak sedikit (bahagian penumbuk) kru dan pengarah jaga. Mereka pun menggelabah,” jelasnya.

Pertama kali bekerja dengan Amir Ahnaf, Aqish menyifatkan jejaka itu antara pelakon yang paling berkaliber sepanjang bekerjasama.

“Amir adalah salah seorang pelakon paling berkaliber yang pernah bergandingan dengan saya. Sampai saya sangat lekat dengan karakter dia.

“Mudah berbual dan berbincang apa yang perlu dilakukan dengannya. Saya tidak pernah ada rakan gandingan yang saya boleh rapat sampai begitu sekali,” jelasnya.

Drama Keluarga Itu menceritakan kehidupan keluarga Iman iaitu seorang tokoh tahfiz yang dihormati.

Walaupun Iman seorang yang terkenal dia dianggap warak dan dermawan, namun ada rahsia hitam yang disembunyikan keluarga tersebut.

Turut sama menjayakan drama 30 episod itu ialah Fattah Amin, Muaz Zabir dan Duerra Miltilda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN