Tiga beranak tidak mengaku ubah wang haram lebih RM150 juta

Tiga beranak tidak mengaku ubah wang haram lebih RM150 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM150 juta.

Jazman Shahar Abdollah, 53, berdepan empat pertuduhan manakala isterinya Mariam Zakaria, 49, didakwa atas lima pertuduhan. Anak mereka, Irfan Hadi, 28, menghadapi tiga pertuduhan.

Di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, Jazman Shahar, didakwa terlibat dalam 20 transaksi pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM137,552,693.98 di antara 25 Oktober 2021 dan 10 Januari 2023 di Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5 di sini.

Lelaki itu juga didakwa memindahkan wang berjumlah RM5.8 juta kepada firma Sariah & Associates dalam 12 transaksi di antara 1 Mac 2022 dan 26 Januari 2023 di di sebuah bangunan di Seberang Jaya, Pulau Pinang di sini. 

Di mahkamah sama, Mariam didakwa atas dua pertuduhan melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,713,372.45 dengan membeli sebuah banglo tiga tingkat di Kota Damansara, Petaling Jaya bernilai RM1,634,882 melalui enam cek dari akaun firma miliknya, Sariah & Associates dan RM78,490.45 bagi pembelian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa atas nama anaknya menerusi cek Maybank antara 25 Mac 2022 dan 9 Jan 2023 di sebuah bangunan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Anak mereka, Irfan Hadi pula didakwa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM8,604,640 dengan memindahkan RM5 juta melalui cek dari akaun syarikat Kenaf Trading Global Sdn. Bhd. ke dalam akaun syarikat AR Rizq Capital Berhad, memindahkan RM300,000 dari akaun syarikat Kenaf Venture Global Sdn. Bhd. ke dalam akaun deposit tetap dan melupuskan RM3,304,640 daripada akaun syarikat sama untuk membeli sebuah unit pejabat antara 7 Mac dan 24 Jun 2022.

Sementara itu, di hadapan Hakim Azrul Darus, tertuduh, Jazman Shahar menghadapi satu pertuduhan melupuskan hasil aktiviti haram manakala isterinya, Mariam berdepan tiga pertuduhan menerima duit daripada aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan, Jazman Shahar didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram bagi tujuan pembelian harta sebuah unit pejabat bernilai RM3,304,640 dan perbuatan itu didakwa dilakukan pada 24 Jun 2022 di sebuah unit di Plaza Sentral, Jalan Stesen di sini.

Mariam pula didakwa dengan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada Skim pelaburan haram “Kenaf Development Fund” berjumlah RM4,238,663.81 di antara 1 Oktober 2021 dan 31 Disember 2023 di di sebuah bangunan di Seberang Jaya, Pulau Pinang di sini.

Kesemua 12 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela Zahidah Md. Zaman.

Mahkamah kemudian membenarkan Jazman Shahar diikat jamin sebanyak RM60,000, Irfan Hadi dijamin sebanyak RM20,000 dan Mariam diikat jamin sebanyak RM30,000 untuk kesemua pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis satu bulan sekali. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 April ini.

Semalam, Kenaf Trading Global Sdn. Bhd., Irfan Hadi dan Jazman Shahar didakwa terhadap atas lapan pertuduhan mengiklankan skim pelaburan tanpa kebenaran antara 2021 sehingga 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya