REMBAU: Hasrat seorang remaja untuk menghantar makanan kepada neneknya tidak kesampaian apabila maut dalam nahas selepas dirempuh kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran Taman Matahari Height, Senawang, Seremban, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, yang menunggang motosikal Modenas Kriss dan pembonceng, Muhammad Aswari Lotpi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut ibu saudara Muhammad Aidil Ramdan, Rosaliah Diego, 26, memberitahu, anak saudaranya ada menghantar pesanan WhatsApp kepada ibunya iaitu nenek kepada mangsa yang memaklumkan mahu membeli makanan terlebih dahulu di Senawang sebelum menghantarnya ke rumah.
“Ibu saya, Rahimah Julieto tertunggu-tunggu tetapi cucunya masih tidak sampai. Seorang lagi anak saudara saya iaitu adik kepada Muhammad Aidil Ramdan iaitu Muhammad Asraf Adha Abdullah, 13, yang membonceng sebuah lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan sama kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas mengalami kecederaan parah.
“Ibu masih lagi terkejut dengan kejadian ini, abang dan kakak ipar saya juga masih bersedih. Muhammad Asraf kini di unit rawatan rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan di HTJ dan masih tidak mengetahui abangnya sudah meninggal dunia, mereka hanya dua beradik, memang sangat rapat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan dua buah motosikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Honda Jazz dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
“Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berusia 15 dan 16 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, pemandu kereta, Muhammad Aidid Nuqman Norizan, 18, serta penumpang kereta, Muhammad Ameer Ikhwan Mohd Azril, 17, yang kedua-duanya bekerja sebagai pembantu kedai makan mengalami kecederaan parah dan dirawat di HTJ.
Penunggang sebua lagi motosikal, Aisar Azim Abdullah, 17, pula mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan dada serta dirawat di zon merah HTJS.-UTUSAN