RAUB: Seorang lelaki yang tinggal bersendirian maut dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah kayu separa kekal di Kampung Kuala Semantan, Cheroh di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa, Zahari Ibrahim, 50, ditemukan rentung dalam bilik tidur setelah api marak membakar hampir keseluruhan rumah tersebut.
Jiran mangsa, Mohamad Azni Mohd. Duni, 52, berkata, pada awalnya, dia tidak menyangka Zahari berada dalam rumah itu kerana kadangkala lelaki itu keluar dan tidak menentu keberadaannya.
“Namun, selepas melihat motosikalnya masih ada di luar rumah, saya mula mengesyaki bahawa dia berada di dalam.
“Saya cuba memanggilnya tetapi tiada jawapan. Ketika itu, api sudah besar dan kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, adik Mohd. Azni, Mohd. Nor Rosmaini, 42, berkata, pada mulanya dia melihat cahaya terang dari arah rumah mangsa sebelum menyedari ia adalah api yang sedang marak membakar kediaman tersebut.
“Saya sedang tidur apabila tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Tidak lama kemudian, saya lihat rumah arwah terang lain macam, rupa-rupanya rumahnya terbakar. Saya terus telefon abang untuk minta bantuan.
“Saya juga berasa sedih sebab arwah tidak sempat keluar menyelamatkan diri, ” ujarnya lagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.42 tengah malam sebelum sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Lipis bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki tiga jentera.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari BBP Raub, komander operasi melaporkan terdapat kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal.
“Peratusan kebakaran dianggarkan 100 peratus dan kejadian turut melibatkan seorang lelaki dewasa yang ditemukan rentung dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN