GEORGE TOWN : Tidak mahir dengan arah jalan di Pulau Pinang menjadi alasan seorang pemandu kereta memandu secara melawan arus di Jalan Masjid Negeri di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video mengenai kejadian itu yang tular di media sosial sejak semalam.
Menurut Abdul Rozak, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.50 malam membabitkan sebuah kereta yang didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dari Nilai, Negeri Sembilan.
Katanya, pemandu yang dipercayai suami kepada pemilik kereta tersebut mendakwa, dia baru sahaja bekerja bekerja di negeri ini dan tidak mahir dengan arah jalan di sini.
“Dalam hal ini, tindakan trafik bagaimanapun terpaksa diambil terhadap pemandu berkenaan dan satu saman telah dikeluarkan di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] terhadap lelaki tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rozak turut menasihatkan para pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan mereka atau menggunakan aplikasi navigasi ketika memandu.
Katanya, ia bagi mengelakkan kesilapan seumpama itu daripada berulang sehingga boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN