Tidak arahan sesiapa siasat Ismail Sabri- Azam Baki 

Tidak dapat arahan sesiapa siasat Ismail Sabri- Azam Baki 

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima arahan daripada sesiapa untuk menjalankan siasatan berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Katanya, siasatan yang dilakukan ke atas bekas Perdana Menteri itu adalah berdasarkan aduan serta maklumat yang diterima oleh SPRM. 

“Kita menyiasat (kes ini) secara profesional dan adil tanpa melihat sebarang darjat atau kedudukan. 

“Tidak ada arahan dari sesiapa. Kami bertindak atas inisiatif sendiri, berdasarkan maklumat dan aduan yang kami terima,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. 

Semalam, media melaporkan, SPRM mengesahkan Ismail Sabri kini disiasat pihaknya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa ahli Parlimen Bera itu ketika menerajui kerajaan. 

Dalam perkembangan berkaitan, Azam memaklumkan, setakat ini SPRM tidak membekukan akaun Yayasan Keluarga Malaysia mahu pun akaun persendirian milik Ismail Sabri. 

Jelas beliau, akaun Yayasan Keluarga Malaysia juga bukan lah milik individu dan masih lagi aktif. 

“Setakat ini kita telah membekukan sebanyak 13 akaun bank yang bernilai kira-kira RM2 juta. 

“Kebanyakan (adalah) akaun suspek yang dibekukan dan berhubung Ismail Sabri kita tidak membekukan lagi akaun beliau. 

“Akaun beliau sedang disiasat dan kita akan meminta penjelasan daripada beliau untuk beliau menerangkan tentang semua akaun yang beliau ada dan juga apa-apa yang patut kita tanya beliau tentang penemuan wang itu,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya