Tiada tindakan susulan di bawah SKMM terhadap tiga

Tiada tindakan susulan di bawah SKMM terhadap tiga penyampai radio

FAHMI Fadzil berbual dengan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga penyampai radio Era FM yang dikatakan mempersenda perayaan Thaipusam berkemungkinan tidak akan berdepan tindakan susulan mengikut bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, SKMM tidak bercadang untuk meneruskan tindakan kepada mereka selepas pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM250,000 kepada Maestra Broadcasting Sdn. Bhd., hari ini.

Beliau berkata, ia sudah memadai tambahan pula ketiga-tiga mereka telahpun memohon maaf dan digantung tugas.

“Kita tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan lanjut kepada penyampai radio berkenaan kerana kompaun kepada syarikat pengendali juga sudah dikeluarkan.

“Mereka sudah melalui tekanan yang besar jadi SKMM dan Kementerian Komunikasi mengambil pendekatan semuanya sudah selesai, tetapi hanya di bawah bidang kuasa saya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Bersama Pengamal Media di sini, hari ini.

Turut kelihatan di majlis itu adalah tiga penyampai terlibat iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy.

Ketiga-tiga penyampai radio itu terpalit dengan kontroversi menghina agama Hindu melalui satu video yang dimuat naik di laman sosial TikTok stesen radio berkenaan.

Hari ini, SKMM mengeluarkan kompaun sebanyak RM250,000 kepada Maestra Broadcasting Sdn. Bhd. iaitu pengendali stesen radio Era FM.

Kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), setelah pihaknya mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya