PETALING JAYA: Dua kali melalui proses perceraian, pelakon, Farid Kamil, enggan lagi berusaha memujuk isteri, Diana Danielle seperti yang pernah dilakukannya pada 2023.
Ujar Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, selepas proses lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP), kini dia sudah redha dengan apa sahaja keputusan sebutan kes cerai yang bakal diputuskan hakim pada 24 Mac hadapan.
“Kali ini saya tidak mahu libatkan ibu bapa lagi kerana apabila saya kahwin, saya yang buat keputusan itu.
“Saya tak bercerita lebih dalam kepada mereka tapi anggaplah benda ini sudah tertulis dan perlu saya hadapi dalam tenang atau sakit. Kita kena jalan.
“Sekarang saya hanya doa, doa, bersujud dan berdoa. Tiada sesi pujuk memujuk, tiada keluarkan wang untuk beli apa-apa.
“Kerana tiada apa lagi yang saya boleh berikan setelah dia hancurkan hadiah hari jadi yang telah saya beri,” katanya.
Farid berkata demikian ketika ditanya mengenai harapannya mengenai keputusan akhir sebutan kes cerai yang bakal dibacakan Isnin depan di Mahkamah Syarie Kuala Lumpur.
Tambah pelakon Gold itu lagi, dia dan Diana tidak lagi berhubung membuatkan sukar untuk mereka kekal berkawan jika masing-masing sah bercerai kali kedua Isnin nanti.
“Saya juga tidak rasa situasi ini membuatkan kami boleh bersahabat kembali. Sebab saya tak fikir, maka saya tak rasa (boleh berkawan). Apa yang saya fikir hanyalah al-Quran bergerak (anak) saya dua orang itu.
“Benda sudah tertulis, cuma saya perlu melaluinya penuh keterbukaan dan redha.
“Saya rasa kali kedua ini, saya sudah berserah diri kepada yang Esa baik dari masalah berkahwinan atau komunikasi.
“Masalah saya ini tiada siapa boleh beri rujukan, hanya saya yang boleh melihat perjalanan ini sendiri,” katanya ketika ditemui di pejabat Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, pada 21 Januari Farid telah melantik peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.
Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi aplikasi ‘Google Meet’ pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk semula sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.