KUALA LUMPUR: Tiada lagi gambaran rumah tangga bahagia, isteri kepada Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap pelakon tersebut pada
pertengahan Februari lalu.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Hidayah, Mohd Yazid Hazim yang hadir bagi sebutan pertama kes tersebut di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.
“Untuk hari ini adalah sebutan biasa sahaja iaitu sebutan bagi penyerahan dokumen.
“Sepatutnya pihak defendan (Edika) perlu hadir namun kami menerima surat daripada pihaknya yang menyatakan tidak dapat hadir mungkin atas alasan kerja dan sebagainya.
“Dan mahkamah telah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh bagi sebutan semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai punca anak guamnya memfailkan cerai, Yazid tidak berkongsi secara terperinci namun memaklumkan ketiadaan persefahaman menjadi faktor utama plaintif mahu berpisah.
“Sebab-sebab (pemfailan) saya tak boleh sebut secara terperinci kerana ianya bersifat subjudis kepada pihak defendan.
“Mungkin, alasan-alasan tersebut akan dibentang berdasarkan kepada arahan Hakim pada 23 April depan.
“Tetapi, secara umumnya ialah tiadanya persefahaman antara plaintif dan defendan,”katanya.
Dalam pada itu, Hidayah mengambil jalan untuk tidak memberikan komen lanjut berhubung pemfailan cerai yang dibuat.
Menurut Hidayah, dia mahu mendengar kenyataan daripada pihak suaminya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang respons.
“Semua tahu situasi dan keadaan saya jadi kalau saya sudah sampai ke tahap pergi ke mahkamah sudah tentu ada sebab yang sangat-sangat kukuh kenapa saya berbuat demikian.
“Jadi, itu sajalah yang boleh saya katakan. Saya tak mahu memberikan sebarang komen.
“Kalian boleh tanya dari pihak belah sana sebab saya tak mahu apa-apa keluar daripada mulut saya dan biar saya dengar dulu apa yang keluar dari mulut dia,”ujarnya.
Tidak cuma itu, Hidayah juga mengakui sudah tidak serumah dengan Edika namun tidak menjelaskan dengan terperinci.
“Saya dan dia sudah tidak serumah cuma tak perlulah saya kongsikan sejak bila,”katanya.
Terdahulu, kisah pengorbanan Edika yang setia menjaga Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua mereka sejak 16 tahun lalu telah meraih perhatian ramai.
Untuk rekod, Edika dan Hidayah telah mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.-UTUSAN