Tiada perbincangan punca perselisihan sayap pemuda parti

Tiada perbincangan punca perselisihan sayap pemuda parti Kerajaan Perpaduan

MOHD. HASBIE MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada perbincangan dan mesyuarat bersama sejak pertengahan tahun lalu dilihat menjadi antara faktor kerapnya berlaku ‘perselisihan’ di peringkat sayap pemuda parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda berkata, keadaan itu menjadi satu ‘kelompongan’ khususnya hubungan dengan Pemuda UMNO, sedangkan masing-masing mempunyai hasrat sama untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau menggesa kesemua yang terlibat kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit secara baik.

“Mesyuarat Sekretariat Perpaduan berjalan dengan baik, saya difahamkan setiap kali selepas mesyuarat Presiden akan disusuli dengan mesyuarat Kerajaan Perpaduan. 

“Namun, kami di peringkat sayap akui memang ada kelompongan, sudah lama kita tidak bermesyuarat sesama sayap Kerajaan Perpaduan, yang terakhir pada pertengahan tahun lalu. 

“Bagaimanapun, kami sentiasa terbuka dan menyeru supaya apa-apa isu perlu dibawa ke meja rundingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pemuda Amanah di sini, semalam.

Sebelum ini, Pemuda UMNO dilaporkan mengkritik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,  Datuk Seri Mohamad Sabu berkenaan isu kekurangan bekalan beras tempatan dalam negara.

Tambah Mohd. Hasbie, segala kritikan dan cadangan seharusnya dibuat di peringkat dalaman supaya umum tidak mengetahui tentang perselisihan yang berlaku.

“Kalau mahu kritik kerajaan kita tidak perlu cabar-mencabar secara terbuka dengan bahasa tidak sesuai, sedangkan mereka boleh berbincang dalam mesyuarat Kabinet. Jadi sebaiknya, kita di peringkat sayap menggunakan ruang dan saluran yang betul,” ujarnya.

Jelasnya, Pemuda Amanah telah mengusulkan supaya pertemuan diadakan di peringkat sayap-sayap pemuda parti, namun belum menerima sebarang maklum balas.

“Kita bukan mahu tunjuk siapa jantan siapa hero, siapa lagi kuat bersuara, itu zaman 60-an, 70-an, tetapi sekarang adalah idea siapa yang terbaik dan boleh digunakan untuk selesaikan masalah. 

“Sayap pemuda ini memang fitrahnya suka dilihat berlawan, tidak suka berunding, pemuda bergaduh, yang runding abang-abang parti. Sebenarnya sayap dalam parti kerajaan mesti lebih bertanggungjawab, kalau lawan ayah kita, memang nampak hero. 

“Tetapi apa berlaku dalam Kerajaan Perpaduan akan jadi lebih teruk, jadi kita tidak perlu terlalu melayan provokasi supaya yang penting adalah kelangsungan kerajaan dapat dikekalkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya