‘Tiada nilai sopan santun? Itu cuma hiburan sahaja’ - Utusan Malaysia

‘Tiada nilai sopan santun? Itu cuma hiburan sahaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyertai ‘perang’ lagu raya seangkatan dengan rakan-rakan penyanyi ternama lain, Shiha Zikir bersama kakaknya, penyanyi, Eida Zikir,mengakui sedikit pun tidak berniat mahu mewujudkan persaingan di musim perayaan ini.

Menghasilkan buah tangan terbaharu berjudul Tum Tum Raya, Shiha malah tidak menyangka video muzik lagu tersebut mendapat komen negatif daripada sesetengah pihak.

Kononnya, video muzik lagu itu meskipun pada dasarnya sekadar berlandaskan kreativiti, tetapi ada yang berpendapat Shiha gagal menyelitkan elemen sopan santun masyarakat Melayu yang lazimnya cukup sinonim dengan lagu-lagu tradisi Aidilfitri yang menghiasi Syawal saban tahun.

Menjelaskan perkara itu, Shiha memberitahu, dia bersama kakaknya, Eida, tidak menyangka wujud pandangan sedemikian kerana hakikatnya, dia dan Eida hanya mahu berkreativiti sambil menghiburkan peminat menerusi penghasilan video muzik itu.

“Sebenarnya, saya langsung tiada niat sebagaimana yang disangka. Saya cuma nak selitkan elemen komedi sahaja dalam video muzik itu.

“Ya saya tahu, kalau lagu raya biasanya mana-mana artis atau penyanyi akan masukkan elemen tradisi yang dekat dengan masyarakat kita. Tetapi sebelum ini pun saya dah pernah buat untuk lagu berjudul Jom Balik Raya.

“Untuk kali ini sahaja saya cuba buat kelainan dengan kreativiti lebih moden, ‘fun’ atau berseronok. Saya tak sangka pula ada yang kritik macam tak sopan,”katanya.

Jelas Shiha lagi, dia bagaimanapun enggan mudah melatah dan menerima segala kritikan sebagai satu input yang baik dalam kerjaya seninya.

“Saya tak menidakkan mereka yang komen meskipun tidak semuanya positif. Maksudnya, yang negatif pun saya ambil sebab semua itu dapat dijadikan sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan.

“Lagu raya sebelum ini saya dah terapkan elemen normal, jadi kali ini saya cipta kelainan sedikit. Cuma tak adalah sampai menjatuhkan nilai tradisi itu.

“Saya rasa mungkin kerana video muzik ini menunjukkan pergerakan tarian kami agak laju tambahan pula saya seakan aktif sangat, tak normal berbanding kakak, maka orang tak biasa tengok mereka kritiklah.

“Perbezaan kami dari segi energi saja, selebihnya tiada apa pun. Keluarga pun tahu saya memang aktif macam itu. Pendek kata, dalam video muzik ini memang saya tonjolkan sisi diri yang sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, enggan berbalah dengan mana-mana pihak, Shiha mengambil pendekatan untuk memohon maaf seandainya ada yang tidak senang dengan ‘kreativiti’ yang cuba diketengahkan olehnya.

“Orang yang tak kenal saya memang akan tertanya-tanya kenapa saya macam itu. Saya tidak pandang negatif, sebaliknya terima dengan hati terbuka segala kritikan itu.

“Saya mohon maaf jika ada orang tak selesa, percayalah apa yang saya lakukan ini sekadar hiburan semata-mata,” ujarnya.

Labur lebih RM100,000
Berkongsi lanjut, penyanyi berusia 38 tahun ini berkata, dia juga tidak teragak-agak mengeluarkan belanja besar untuk penghasilan video muzik Tum Tum Raya kerana sudah sedia awal memasang hajat untuk mempunyai sebuah video muzik yang bermutu walaupun cuma lagu raya.

Menurut Shiha, dia percaya, apa sahaja yang dilakukan, harus dizahirkan dengan sepenuh hati dan ia terbukti menerusi penghasilan video muzik itu.

“Kali ini, harus diakui, saya telah mengeluarkan belanja agak besar untuk hasilkan video muzik ini. Biarpun cuma lagu raya, tetapi saya nak hasilnya puas hati.

“Boleh dikatakan, saya sanggup all out kerana suka meneroka sesuatu yang baharu. Saya nak hasilkan sesuatu yang berbeza daripada artis lain tetapi yang penting kepuasan itu,” katanya.

Jelas Shiha, kos tinggi yang dilaburkannya dalam video muzik ini melibatkan banyak aspek termasuk sewaan studio dengan set yang diubah dan terpaksa di cat baharu.

“Penggambaran berlangsung dalam studio besar dengan lima set berbeza selama empat hari. Tapi bukan senang, saya bersama pasukan Shiha Zikir Empire perlu cat baharu sebab saya nak hargai penaja.
“Kemudian setelah selesai penggambaran, studio itu perlu dicat semula kepada warna putih sebagaimana asal. Itu semua kos juga.

“Tak cuma itu, saya juga sediakan enam set baju yang berbeza termasuk untuk kumpulan penari dalam video muzik ini. Ia juga melibatkan kos yang tinggi. Tetapi saya tak merungut pun sebab puas hati dengan hasilnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya