Tiada masalah giliran beraya, isteri-isteri merancang, Ashraf Muslim buat keputusan - Utusan Malaysia

Tiada masalah giliran beraya, isteri-isteri merancang, Ashraf Muslim buat keputusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua belas tahun mengamalkan poligami, pelakon, Ashraf Muslim mengakui dia tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah dalam menentukan giliran beraya.

Menurut Ashraf, setiap keputusan berkaitan giliran raya sering dilakukan secara bermesyuarat bersama kedua-dua isterinya, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi dengan adil dan saksama.

“Kami beraya secara bergiliran. Keputusan itu akan dibuat secara perbincangan dan kami akan bermesyuarat.

“Untuk raya tahun ini, saya hanya ada dua minggu sahaja untuk cuti. Jadi, saya perlu bahagikan masa sebaik mungkin supaya seimbang dan adil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, pelakon drama Seribu Tahun tersebut bersyukur kerana kedua-dua isterinya tidak pernah berbalah mengenai perkara itu sebaliknya mereka lebih bijak dalam mendapatkan kata sepakat secara harmoni.

“Raya kan sebulan, saya rasa itu tidak akan menjadi masalah. Benda ini saya sudah lalui berbelas tahun. Kedua-dua isteri saya tidak pernah ada isu berebut mahu balik raya mana kerana kami sudah berbincang.

“Proses perbincangan itu juga akan diadakan sebelum Ramadan. Kebiasaannya isteri-isteri saya yang akan berbincang. Kita suami, kita buat keputusan.

“Bagi saya yang penting adalah ziarah dan menyantuni keluarga. Jadi, untuk tahun ini saya akan beraya di kampung Sakinah dahulu, kemudian kampung Dayana,” jelasnya.

Terdahulu, Ashraf telah mendirikan rumah tangga bersama Dayana pada 2011. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 9, selepas empat tahun berkahwin.

Kemudian, pelakon itu telah melangsungkan perkahwinan keduanya bersama Sakinah pada 7Julai 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 10, Adam Ashraf, 9, dan Safiyyah Ashraf, 5.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya