DALAM hidup, ada rindu yang bersambut. Tapi ada juga yang semakin larut. Pelakon dan model, Scha Alyahya, tersenyum manis dan ketawa kecil ketika kami bertemunya petang itu.
Ceria dan bersahaja. Tapi dalam selang jeda dengan mata yang terluka, Scha mengakui tidak ada yang benar-benar sembuh setelah ibu, Allahyarham Junainah Hashim pulang bertemu Allah 7 Disember lalu.
Ini kali pertama Ramadan dirasa begitu berbeza. Berat seperti membenam separuh dada. Setiap malam Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir Al-Yahya, 41, mengalirkan air mata mengumpul kekuatan untuk mengharungi sahur, berbuka dan tarawih tanpa sosok seorang ibu.
“Orang kata dekat saya, macam cepat sahaja dua bulan berlalu sejak ibu tiada. Tapi perasaan saya masih sama. Adakalanya saya rasa lebih teruk sebab semakin hari saya jadi lebih rindu.
“Sampai detik ini pun saya masih tidak sangka ibu sudah tiada. Ia kehilangan besar dalam hidup saya. Saya tahu, saya tidak akan sembuh daripada perasaan ini. Betul, saya akan teruskan hidup, tapi ia tidak mudah,” katanya kepada Pancaindera.
Dalam empat beradik, Scha adalah anak yang paling rapat dengan arwah ibu. Setiap hari sudah menjadi rutin baginya untuk buat panggilan video bertanya khabar dan berkongsi cerita dengan ibu.
“Kalau tidak berbuka puasa dengan ibu, saya memang ada tabiat buat panggilan video. Kami akan iftar sama-sama melalui video. Saya akan tanya dia masak juadah apa dan berbual.
“Ibu tahu semua masakan kesukaan saya terutama Gulai Ikan Talang dengan nenas. Kalau saya berbuka di rumahnya, tidak perlu cakap, dia sudah masakkan lauk itu dengan juadah kesukaan saya yang lain seperti ayam goreng, sotong goreng kunyit dan sambal belacannya yang paling sedap.
“Saya akan terfikir-fikir menu itu selepas ini,” cerita Scha tersenyum.
Tambahnya, ketika arwah masih hidup, Scha memang rajin menyalin resipi masakan. Kadangkala dia akan minta ibu kirimkan resipi menerusi WhatsApp. Oleh itu, pemenang Dewi Remaja 2006 itu ‘bercuti’ turun ke dapur kerana tidak kuat untuk memasak kerana sering teringat ibu.
“Mujurlah waktu arwah masih hidup, saya rajin minta resipi. Cuma kalau mahu masak semua resipi itu, saya tetap akan telefon bertanya itu ini.
“Memang saya ada tempoh tidak masak kerana terlalu sedih. Tapi saya fikir, takkan saya tidak memasak sampai bila-bila? Kadangkala saya selak semula resipi arwah yang pernah saya catat atau baca pesanan arwah yang masih ada di WhatsApp,” tambahnya.
Bukan hanya masakan, malah pelakon Awan Dania itu perlu menguatkan diri setiap kali pulang ke kediaman keluarganya di Kuala Lumpur.
Di setiap penjuru rumah ada sahaja bayangan ibunya dan kenangan semasa arwah hidup menjelma di depan mata.
“Saya kena balik juga ke sana sebab ayah dan adik saya masih berada di rumah. Baru-baru ini sebenarnya saya ada pulang. Masuk sahaja lorong rumah, air mata saya terus keluar.
“Apa lagi bila masuk ke dalam rumah, lihat bangkunya. Mana-mana tempat saya macam nampak kenangan arwah ibu,” ceritanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suami yang juga selebriti, Awal Ashaari sangat memahami keadaan dirinya. Setiap hari Awal akan memastikan keadaan dirinya baik-baik sahaja selain memberi kata-kata semangat untuknya melewati rasa kehilangan ini.
SAHUR MAGGI DAN BUDAK NAKAL SUNGAI LALANG
Bercerita tentang kenangan Ramadan masa kecil, kita sudah boleh mengagak bahawa Scha memang seorang kanak-kanak yang cerdas atau mungkin, nakal?
Ketika keluarganya menetap di sebuah taman perumahan di Sungai Lalang, Kedah, ada sahaja kekecohan yang dibuat semasa bulan puasa.
“Adik-beradik ialah kawan saya paling rapat. Depan rumah kami ada ladang kelapa sawit. Di situlah kami bina macam markas tempat kami ponteng solat tarawih. Kalau ada motor melalui jalan itu, kami akan baling batu.
“Pernah juga kami ikat botol banyak-banyak atas pokok. Lepas itu kami akan lepaskan bila dengar orang lalu, konon-konon hantu yang buat. Belum lagi kami main bunga api, tapi saya akan ambil belakang bunga api buat macam hisap rokok. Tak sangka saya sanggup buat begitu dahulu,” Scha ketawa.
Perkara yang sangat Scha hargai adalah amalan tradisi saling mengirim juadah berbuka puasa antara jiran. Sudah menjadi kelaziman di taman perumahan untuk saling bertukar juadah.
“Saya paling liat mahu bangun sahur. Kalau bangun pun saya tetap mahu makan Maggi dengan telur. Berbuka puasa pula saya suka mi goreng dari kuali kawah.
“Dekat tempat kami dahulu ada tukar-tukar lauk berbuka. Kerja sayalah yang tukang hantar makanan ke rumah jiran. Tradisi itu kami panggil ‘balas’ sebab timbal balik kebaikan jiran-jiran. Itulah antara kenangan yang tidak boleh dilupakan,” katanya.