PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan tiada keperluan pihaknya ketika ini untuk mewujudkan unit kesihatan di setiap Bazar Ramadan susulan insiden kematian mengejut seorang warga emas di sebuah bazar Ramadan semalam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya belum bercadang untuk berbuat demikian sebaliknya pasukan kesihatan terdekat sentiasa bersiap sedia untuk menangani setiap kes kecemasan.
Bagaimanapun, katanya, beliau menyarankan kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meletakkan nombor-nombor dan talian kecemasan di setiap Bazar Ramadan bagi memudahkan pengunjung.
“Jika ada berlaku apa-apa kes kecemasan termasuk pengunjung pengsan dan sebagainya, orang awam boleh terus berhubung menerusi talian kecemasan itu.
“Selain itu, unit kecemasan hospital di seluruh negara bersedia sepanjang masa bagi menangani setiap kes kecemasan membaitkan orang awam,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan walkabout sempena Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Makanan di Bazar Ramadan, Presint 3, Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud keperluan untuk KKM menempatkan unit kesihatan di setiap Bazar Ramadan susulan insiden kematian mengejut seorang pengunjung bazar semalam.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, Baling, Kedah.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Zainon Said, 75, dari Kampung Banggol Asam, Pulai, dipercayai meninggal dunia akibat penyakit kronik yang dihidapinya.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau mengingatkan pengunjung Bazar Ramadan supaya mengelak daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas selain disarankan memakai topi atau menggunakan terutama kumpulan-kumpulan yang berisiko. – UTUSAN