Tiada istilah tiru, Loque sudah hasilkan samping corak keris sejak 2016 - Utusan Malaysia

Tiada istilah tiru, Loque sudah hasilkan samping corak keris sejak 2016

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi kumpulan MonoloQue, Loque, menafikan rekaan keris yang dihasilkan pada samping jualannya ada kaitan dengan cubaan meniru corak jenama pakaian seorang pempengaruh.

Jelas Loque atau Khairil Ridzwan Anuar, 47, dia tidak berniat untuk bertikam lidah sebaliknya memberi pencerahan bahawa dia dan isteri, Dahlia Nadirah Juhari ,sudah lama menghasilkan rekaan dan motif keris pada samping sejak tahun 2016.

“Dakwaan itu tidak memberi impak teruk kena pada saya, cuma isteri saya yang terima banyak mesej di Instagram.

“Apapun, kami terharu kerana ramai juga peminat dan kawan-kawan yang beri semangat dan minta saya untuk beri penjelasan kepada semua.

“Peminat kami serta pengikut jenama pakaian kami pasti tahu bahawa kami sudah hasilkan corak keris sejak 2016. Tapi mungkin yang ada hari ini daripada generasi berbeza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, penyanyi Chinta itu berharap agar isu ini tidak membuat masyarakat berpecah sebaliknya saling menghargai rekaan warisan daripada nenek moyang terdahulu.

“Pada saya perkara ini juga buat orang lebih nak tahu tentang ini (corak warisan).

“Niat asal saya semasa hasilkan rekaan itu adalah mahu meraikan budaya kita. Sebab itu saya pakai tengkolok dan berbual dengan bahasa kita terutama sejak saya pulang dari Amerika Syarikat.

“Samping itu sebenarnya ilham daripada koleksi atuk dan orang tua saya yang sudah berusia 40 tahun.

“Memang niat saya untuk hasilkan semula rekaan itu dan kongsikan kepada masyarakat,” ceritanya.

Terdahulu menerusi Instagram Story, Loque berkongsi salah faham yang wujud apabila ada pihak mendakwa samping yang dihasikan oleh Loque dan isteri ‘diciplak’ daripada rekaan seorang pempengaruh.

Loque bagaimanapun menjelaskan rekaan tersebut sudah dihasilkan terlebih dahulu iaitu pada 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN