KUALA LUMPUR: Tiada bukti mencukupi untuk mendakwa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung dakwaan pemindahan dana 1MDB.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara.
“Saya menjawab bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan berdasarkan maklum balas yang diterima, mereka tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa Zeti.
“Namun, perlu diingat sebarang kesalahan jenayah tidak mempunyai had tempoh tertentu,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada siasatan penuh dijalankan terhadap aset milik Zeti serta suami dan anak-anak berkaitan skandal 1MDB.
Beliau berkata lahi, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum membuka kertas siasatan terhadap Zeti.
Namun, katanya, siasatan dijalankan terhadap suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman berdasarkan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Polis kini sedang menyiasat suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman serta pihak-pihak lain berkaitan selepas satu laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi.
“Siasatan terhadap kes ini masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN