MASA terbaik untuk menonton cerita hantu adalah semasa bulan puasa di saat syaitan dan iblis kena ikat sampai malam raya.
Itulah sebabnya saya menonton filem pecah panggung Korea Selatan, The Dark Nun (TDN) yang sudah pun berada di hujung tarikh penayangan.
Korea Selatan sebenarnya sudah ada filem yang ikonik untuk genre pengusiran syaitan seperti Exhuma (yang juga saya tonton semasa bulan puasa), The Priest dan The Wailing.
Harapan saya cuma satu agar pengarah, Kwon Hyeok-jae boleh menawarkan sesuatu yang boleh bikin tercengang.
TDN mengambil latar gereja yang sebenarnya tidak jauh beza dengan nuansa yang pernah saya tonton dalam lambakan filem usir syaitan Hollywood.
Cumanya, watak utama filem ini boleh tahan unik iaitu Sister Junia lakonan Song Hye-kyo yang memiliki personaliti tegas dan ganas walaupun disahkan doktor dia bakal mati tidak lama lagi.
Adegan pengenalan sahaja sudah badass, dia menghisap rokok, menarik nafas, jarang dilihat tersenyum dan berjalan mengusir syaitan.
Seperti filem Hollywood yang lain, aktiviti pengusiran syaitan tidak boleh dilakukan oleh perempuan.
Walaupun Junia yakin akan bakat dan kelebihan indera keenamnya boleh menyelamatkan seorang budak lelaki, Hee-Joon, daripada mati dirasuk iblis, namun kesatuan gereja tidak membenarkannya melakukan demikian mungkin kerana merujuk ayat dari Al-Kitab 1 Timotius 2:12.
Ketika itulah dia bertemu rakan rebelnya, Sister Michaela, Yeo been Jeon yang mahu melanggar sistem demi menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Saya sebenarnya berharap dapat membahaskan lebih banyak seperti bagaimana kedudukan kuasa dalam filem ini selalu diberikan kepada karakter yang lemah.
Contohnya, Junia yang akan mati, Michaela mangsa buli dan Hee Joon seorang anak yatim. Namun begitu, saya tidak boleh mena kan ada kekecewaan dan kelelahan sepanjang menonton TDN yang membunuh keterujaan saya mengurai perkara tersebut.
TDN bukan filem yang menyentuh permukaan, tetapi menarik penonton terjun ke dalam proses pengusiran yang agak terperinci termasuk jenis syaitan.
Memang filem yang baik adalah show don’t tell, namun untuk sebuah perkara yang sangat niche, hanya orang alim kristian tertentu sahaja yang tahu, wajar untuk skrip itu dilonggarkan sedikit menerangkan apa sebenarnya proses yang berlaku tanpa terlalu bersyarah.
Bukan itu sahaja, ada ketidakseimbangan yang ketara bagaimana karakter dalam filem ini ditampilkan. Satu-satunya karakter yang solid hanyalah Michaela daripada perkembangan watak sehinggalah identitinya sebelum semua ini bermula.
Namun, Junia sebagai watak utama filem ini langsung tidak diceritakan latarnya. Sedangkan sepanjang filem ini, saya betul-betul mahu mengetahui siapa sebenarnya Junia dan apakah cerita yang membuatkannya menjadi perempuan penentang di gereja.
Saya yakin jika pembinaan karakternya sedikit lebih solid, setidaknya penonton akan membawa keluar ‘rasa’, perasaan akrab dengan karakter tersebut memandangnya plotnya hanya biasa-biasa sahaja.
Kwon Hyeok-jae mengambil pendekatan tidak menampilkan sosok syaitan dalam filem ini, walaupun bayang-bayang.
Hanya menggunakan kedudukan birds eye view sebagai sudut pandang iblis. Mungkin Kwon mahu menunjukkan perkara yang kita usir dan lawan selalunya perkara yang tidak kita lihat di mata kasar. Namun begitu, saya tidak boleh tipu, ada kekakuan, kejanggalan dan kebosanan.
Keseraman TDN hanya bergantung kepada efek bunyi yang saling bertindih malangnya ia juga gagal menggoda.
Saya berpendapat, jika bukan kerana kemunculan Song Hye-kyo selepas 10 tahun menyepi, filem ini hanyalah okay-okay sahaja.