KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Fiziwoo nafi serik bekerjasama dengan selebriti tanah air sebagai wajah ilham bagi Koleksi Raya Fiziwoo 2025 pada tahun ini.
Kata pengasas jenama tersebut, Hafizi Woo dan Izree Kai Haffiz, perjalanan 10 tahun dalam dunia fesyen membuatkan mereka mahu mempamerkan koleksi raya pada tahun ini dengan kerjasama golongan ‘profesional’ secara eksklusif.
“Kami bukan serik untuk bekerjasama dengan selebriti. Tetapi, sempena ulang tahun ke-10 ini, Fiziwoo ingin buat pembaharuan dengan memilih ‘wajah ilham’ berbeza bagi koleksi Aidilfitri tahun ini.
“Wajah yang dipilih juga mewakili ramai wanita dari pelbagai latar belakang dan bekerjaya,” kata Hafizi ketika ditemui di majlis pelancaran Fiziwoo’s Raya Collection – Iftar Soiree di Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Fiziwoo menjelaskan perkara tersebut bagi meleraikan dakwaan mereka serik untuk bekerjasama dengan artis selepas terpalit dengan kontroversi yang melibatkan pelakon, Ruhainies yang ditangkap khalwat dengan Aliff Aziz, pada tahun lalu.
Kata Hafizi, jenama yang dikendalinya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana selebriti secara profesional meskipun artis tersebut mempunyai kontroversi.
“Kami tidak amalkan diskriminasi selebriti terpalit kontroversi. Urusan kerja kami adalah secara profesional. Fiziwoo bersikap terbuka dan tidak sesekali ‘banned’ rakan selebriti. Mereka juga adalah kawan kami,” kata Hafizi.
Ditanya sama ada kontroversi itu memberi kesan kepada perniagaan mereka, Fiziwoo tidak melatah sebaliknya positif menganggap isu tersebut ada baik dan buruknya.
“Memang betul sewaktu kontroversi itu sedang hangat diperkatakan, kami menerima banyak mesej dari netizen di media sosial. Mereka yang tidak tahu jenama Fiziwoo pun mula kenal.
“Bagi yang sudah biasa dengan jenama ini, mereka tidak cepat melatah jika selebriti mewakili Fiziwoo terpalit kontroversi. Kontroversi itu juga berlaku di luar kawalan dan jangkaan kami.
“Sebagai pereka fesyen, kami hanya menjalankan tugas kami. Kita tidak ambil campur urusan peribadi dan rumah tangga orang.,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies pernah menjadi wajah ilham bagi koleksi raya jenama fesyen tersebut sempena Aidilfitri tahun lalu.
Namun, tahun ini Fiziwoo tampil memperkenalkan ahli politik, Nurul Izzah Anwar serta ahli perniagaan dan pempengaruh, iaitu Nur Nadia SM Nasimuddin, Nur Diana SM Nasimuddin dan Che Puan Sarah Shahdan sebagai ‘wajah ilham’ koleksi busana Aidilfitri pada tahun ini.-UTUSAN