PETALING JAYA: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya. (Riwayat al-Tirmidzi)
Waktu berbuka puasa adalah antara saat yang dinanti-nantikan setelah berbelas jam berpuasa. Ia menjadi antara saat yang menggembirakan tidak kira bagi golongan dewasa atau kanak-kanak.
Kegembiraan ketika berbuka puasa ialah kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum dan sebagainya.
Justeru, apabila makan minum itu dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, ia akan menimbulkan kegembiraan apabila seseorang itu boleh kembali melakukannya.
Menambah kegembiraan itu adalah inisiatif keluarga Azura Abd. Mois dibantu suami, Cef Mohd. Azhar Abdullah Sani dan anak, Sarah Anessofea.
Dengan niat berkongsi rezeki Ramadan, keluarga ini menyediakan pelbagai pastri iaitu puff pastri berinti sardin, puff pastri berinti cendawan dan gulungan pretzel bawang putih.

Azura berkata, proses penyediaan dan memasak bermula kira-kira pukul 12 tengah hari dan ia mula diedarkan kepada jiran tetangga selepas waktu Asar.
Katanya, program itu diadakan pada setiap Ahad yang antara lain bagi menghidupkan tradisi berkongsi atau bertukar juadah berbuka puasa seperti yang diamalkan orang tua-tua dahulu di kampung.
“Selain itu, ada juga jiran-jiran yang turut menyumbang juadah dan minuman lain untuk diagihkan kepada sesiapa yang datang ke khemah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Program yang dimulakan masuk tahun keempat itu menyediakan kira-kira 150 bungkusan setiap kali yang dibakar sendiri oleh Cef Azhar yang juga cef pastri di sebuah hotel dekat sini dan Azura. – UTUSAN