JOHOR BAHRU: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin terasa tidak terkecuali dalam kalangan pekerja-pekerja Indonesia yang mencari rezeki di negara ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Feri Stulang Laut di sini mendapati ratusan pekerja Indonesia mula pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan perkhidmatan feri dari terminal itu.
Bagi Agus Rosmin, 32, yang telah bekerja sebagai kontraktor di Selangor selama lapan tahun, kepulangan ke kampung halaman di Bintan sempena Aidilfitri sudah tentu amat dinanti-nantikannya.
Dia yang yang mengambil cuti selama seminggu berkata, tambang tiket pergi dan balik berharga RM183 masih banyak tersedia.
“Saya bersyukur dapat pulang bertemu isteri dan dua anak di Bintan. Tidak sabar menikmati suasana lebaran bersama keluarga,” katanya.
Seorang lagi perantau, Yanti Bedjo, 57, turut gembira kerana berpeluang pulang ke Batam.
“Saya mempunyai lima anak, empat daripadanya berada di Batam, sudah lama tidak berjumpa mereka dan cucu-cucu raya kali ini lebih bermakna,” ujarnya.
Sementara itu, Tati Bokin, 54, yang menetap di Kota Tinggi bersama suaminya tidak ketinggalan mengambil kesempatan untuk pulang beraya di Tanjung Pinang.
“Suami bekerja sebagai pemandu lori dan mendapat cuti seminggu, jadi kami ambil peluang ini untuk pulang bertemu anak-anak di kampung. Harga tiket feri juga masih berpatutan,” katanya.
Perjalanan melalui laluan feri dari Johor ke destinasi seperti Batam, Bintan, dan Tanjung Pinang, Indonesia menjadi pilihan utama kerana faktor kos yang lebih murah dan masa perjalanan yang singkat. – UTUSAN