Terkilan tidak sempat lihat wajah arwah Jojo kali terakhir - Sabhi Saddi - Utusan Malaysia

Terkilan tidak sempat lihat wajah arwah Jojo kali terakhir – Sabhi Saddi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Sabhi Saddi, terkilan tidak dapat menunaikan hajat untuk menghantar jenazah sahabatnya, Allahyarham Jojo atau Nur Hasan Balas ke tanah perkuburan atas urusan kerja di Singapura.

Jelas Sabhi, menerusi sebuah panggilan video November lalu, penyanyi itu berjanji untuk bertemu dengan sahabatnya itu selepas penyakitnya semakin sembuh namun tidak kesampaian.

“Sampai hari ini saya masih terkesan dia tiada. Kali terakhir saya buat panggilan video dengan dia pada November lalu, saya janji mahu berjumpa tetapi tak sempat. 

“Rasa terkilan dan menyesal sangat bila saat akhir dia, saya tidak dapat hantar dia ke tanah kubur. 

“Alhamdulillah, syukur pemergian dia pada malam penuh barakah iaitu hari Israk Mikraj. Pemergian dia sangat baik dan kalau boleh semua orang nak macam dia,” katanya. 

Sabhi ditemui Utusan Malaysia di sidang media Festival Raya Selangor Havoc 2025 di Setia City Convention Center, baru-baru ini.

Berkongsi kebaikan arwah sepanjang hayatnya, Jojo merupakan individu pertama yang menghulurkan bantuan dengan memberi tunjuk ajar cara menari semasa awal pembabitannya dalam industri muzik.

“Dulu saya pindah dari Sandakan ke Kota Kinabalu, dia jumpa saya dan ajar semua benda. Kami berjalan dari bandar Kota Kinabalu ke rumahnya dalam lima kilometer. Sepanjang perjalanan itu dia ajar menari. 

“Kebaikan arwah, kami sama-sama tiada duit tetapi setiap kali bangun, dia akan tinggalkan wang untuk saya ke bandar. 

“Dia antara sahabat yang paling saya sayang. Banyak momen kami berdua daripada tidak dikenali sampailah orang kenal. 

“Saya tidak pernah lupa kebaikan dia. Ini contoh sahabat yang tidak akan saya dapat di mana-mana. Sanggup susah senang bersama,” jelasnya lagi. 

Terdahulu, bekas anggota One Nation Emcees itu disahkan meninggal dunia selepas rebah di masjid dipercayai akibat serangan jantung. 

Ketika kejadian, Jojo sedang menyertai majlis Ijtimak Qudamak Seri Petaling di Masjid Sri Petaling. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN