REZZA Shah hari ini mampu tersenyum gembira dengan kehadiran single terbarunya, Mungkin kerana besar pengertian lagu tersebut buat penyanyi asal negeri bumi kenyalang ini. Sebenarnya, ia satu pencapaian selepas 15 tahun dia cuba membuktikan kepada mereka yang sebelum ini memandang seorang Rezza Shah terlalu rendah.
Lebih satu dekad Rezza berdepan pelbagai tanggapan negatif. Namun, anak muda ini cekal dan menebalkan muka agar dia bertahan dalam bidang yang dicintainya.
“Bukan baru semalam saya berdepan persepsi, tanggapan negatif dan penghinaan. Sejak 15 tahun dulu lagi.
“Pernah saya ini digelar penyanyi sendu dan pada masa yang sama ada juga meramalkan masa depan saya gelap kerana memilih muzik dan nyanyian sebagai kerjaya.
“Itu belum lagi saya direndah-rendahkan, dikatakan tidak relevan dan tidak produktif oleh orang dalam industri seni itu sendiri.
“Semua itu sudah lama saya hadap,” katanya.
Pemilik nama penuh Muhammad Shahrezza Abu Samah ini mengakui pernah pada satu tahap dia membenam dendam yang mendalam terhadap mereka yang sebelum ini cuba ‘membunuh’ semangat dan keyakinannya.
Namun, penyanyi ini akhirnya mampu berdamai dengan hakikat yang bahawasanya dia tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.
“Disebabkan pandangan negatif orang, saya menghabiskan banyak masa untuk membuktikan kepada mereka. Saya menjadi anak seni yang lebih produktif, terjun bidang lakonan dan kerap muncul di kaca televisyen.
“Semua itu saya lakukan untuk menyakitkan hati mereka yang menghina saya. Ia dipandu oleh dendam dan amarah.
“Namun, dendam lama sudah terhapus. Tiada gunanya saya puaskan hati pembenci saya. Perasaan marah itu saya guna sebagai motivasi dan pembakar semangat. Dan perkara itu terbukti membawa banyak kebaikan kepada diri dan kerjaya saya.
“Saya sebenarnya perlu berterima kasih kepada mereka yang sebelum ini yang hina dan kecam saya kerana tanpa kata-kata negatif mereka mungkin saya tak ada motivasi untuk berjaya,” jelasnya.
IMPIKAN LAGU DARI ADE GOVINDA
Rezza yang mengidolakan Ade, sentiasa mengharapkan agar satu hari nanti dapat bekerjasama dengan anak kelahiran Bajubang Jambi itu.
“Ade, ketika saya bertemunya, ada bertanya sama ada saya ini bernaung di bawah mana-mana label. Dia juga bertanya tentang umur saya.
“Saya memang mengidamkan lagu dari dia. Bagi saya, lagu yang dihasilkan Ade diterima baik pendengar Malaysia dan Indonesia.
“Apa pun, kalau bukan bersama Ade sekalipun, matlamat lebih besar saya adalah untuk merakamkan lagu di Indonesia. Insya-Allah, kalau ada rezeki, ke sanalah saya.
“Dia pernah bagi hint, katanya saya pasti diterima pendengar Indonesia kerana suara saya berbeza,” jelasnya.-UTUSAN