Terima kasih bantu KDA, kami langsai hutang RM200,000 sebulan - Sanusi

Terima kasih bantu KDA, kami langsai hutang RM200,000 sebulan – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan tabung Aidilfitri untuk membantu pemain bola sepak negeri itu berjumlah RM200,000.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) khususnya amat menghargai pihak-pihak yang membuat kebaikan di Kedah.

Bagaimanapun, Presiden KFA itu menegaskan, pihaknya tidak pernah lepas tangan terhadap pasukan Hijau Kuning itu kerana masih melangsaikan hutang terkumpul berjumlah RM30 juta yang ditinggalkan kepimpinan terdahulu.

“Jangan kata kita tak buat apa-apa untuk bola sepak Kedah. Kalau tolong RM200,000 selepas itu kutuk orang yang buat lebih banyak saya rasa hilang pahala kita buat kebajikan. Kalau awak buat kebaikan, jangan pertikai kebaikan orang.

“Biarlah dia buat, entah-entah dia buat lebih banyak daripada kita. Kita jaga kebaikan kita supaya tidak hancur. Tuhan kira, kalau awak riak, takbur, hentam orang pula maka hancurlah kebaikan itu. Tambahan lagi bulan puasa ini, rugi hanya dapat lapar dahaga saja.

“Sebenarnya mula-mula kita ambil alih pasukan dulu. Kita tanggung hutang RM16 juta termasuk empat bulan tunggakan gaji. Tidak lama kemudian sampai lagi tuntutan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan komitmen untuk musim seterusnya. Campur-campur semua sudah lebih RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Ganjaran Kepada Atlet dan Pegawai Sempena Temasya PARA ASEAN Games Cambodia 2023, SUKMA & PARA SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Beliau mengulas sumbangan khas RM200,000 yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada pemain bola sepak Kedah setelah inisiatif itu digerakkan tiga NGO sejak 20 Mac lalu.

Muhammad Sanusi berkata, KFA sehingga kini masih menanggung hutang RM30 juta itu termasuk tuntutan RM1.9 juta daripada LHDN untuk pemain import sebelum ini, Liridon Krasniqi.

Katanya, KFA turut membantu pasukan KDA FC sebanyak RM2 juta sebelum ini untuk memastikan pasukan itu mendapat lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka terus bertanding dalam Liga Malaysia bagi musim ini.

“Kesemua tunggakan-tunggakan itu KFA sedang bayar sebanyak RM200,000 sebulan. Kita cari dana daripada pelbagai pihak yang sudi memberi sumbangan. Itupun penyumbang kita dikacau sehinggakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat tanpa tujuan.

“Akhirnya tak ada orang nak bagi lagi dah. Susah kalau main politik sampai tahap itu. Saya tahu itu semua agenda politik sahaja. Tangkap orang bagi pakai baju oren lepas itu potretkan mereka besar-besar tanpa ada kes.

“Habis semua penyumbang lari, selepas itu pasukan bola teruk marah kita. Kena faham benda-benda ini kadang-kadang sengaja dibuat. Bila kita pulun mereka sabotaj, bila tak buat mereka buat cara ini. Saya dah malas nak main permainan mereka, saya akan buat kerja saya tolong setakat mana boleh,” katanya.

Tambah beliau, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Radhi Mat Din turut menyumbang secara peribadi berjumlah RM1,500 seorang kepada 11 kakitangan KDA FC sempena Aidilfitri minggu depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya