KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan memperhalusi semula pengisian acara yang berlangsung sepanjang Ramadan supaya tidak mencemari kesucian bulan mulia tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau mengambil maklum teguran rakyat terhadap acara hiburan yang dikatakan agak berlebihan pada Ramadan kali ini.
Katanya, penganjuran Pelita Raya bertujuan memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia namun pihaknya peka ada aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini.
“Saya mengucapkan terima kasih atas teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat Terengganu berkaitan program Pelita Raya dan Pesta Moreh di negeri ini. Kami sangat menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpulihara.
“Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai luahan rakyat yang menyatakan kekecewaan mereka berikutan terdapat acara tarian pada majlis penutup Pelita Raya 2025 dan lambakan Pesta Moreh yang dikhuatiri menyebabkan rakyat terlalai dari menunaikan solat tarawih.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri sedang dalam proses menambah baik garis panduan kebudayaan dan hiburan.
Katanya, bagi Pesta Moreh pula, kerajaan negeri menyedari peranannya dalam membantu ekonomi peniaga dan menambah pendapatan rakyat.
Namun, katanya, terdapat aduan mengenai lambakan lokasi moreh yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat kerana ada yang berasakan Ramadan lebih dilihat sebagai pesta makanan berbanding pesta ibadah.
“Sehingga ada persepsi bahawa terdapat pihak yang lebih teruja mengejar juadah moreh berbanding berusaha memperbanyak ibadah. Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik pengisian di kawasan moreh.
“Antara cadangan yang sedang diteliti adalah menambah slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh agar keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual dapat dicapai. Ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa lokasi moreh di Terengganu. – UTUSAN