KUALA TERENGGANU: Bekas pengikut ajaran sesat diingatkan supaya tidak mengadakan sebarang himpunan yang boleh menggugat akidah umat Islam di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan percubaan kumpulan tersebut yang berselindung di sebalik aktiviti himpunan hari keluarga pada sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Katanya, polis dan jabatan agama masih memantau pergerakan bekas pengikut ajaran sesat seperti Ayah Pin di Besut.
“Kita dapat maklumat ada percubaan untuk mereka berhimpun di lokasi tersebut yang dikhuatiri menyebabkan berlakunya percanggahan ajaran Islam. Kita mengingatkan agar mereka tidak meneruskan hasrat ini dan mana-mana pihak yang terlibat akan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan ajaran itu diwartakan haram pada tahun 1997.
Selain ajaran Ayah Pin, dua lagi ajaran yang diwartakan sesat oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Terengganu ialah ajaran Mohib Khouli dan ajaran Kanzun Makhfiyyan.
Muhammad Khalil, semua bekas pengikut tiga ajaran tersebut masih dipantau kerana dikhuatiri menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sebenarnya. – UTUSAN