KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) nyaris dimalukan Sabah FC selepas mencatat keputusan seri 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam ini.
Pasukan pelawat mendahului perlawanan menerusi jaringan Stuart Wilkin yang bijak menyempurnakan hantaran jauh Saddil Ramdini dengan melakukan rembatan ke dalam gawang pada minit ke-19.
TFC yang tersentak dengan jaringan lawan mengatur serangan berbahaya dan menyamakan kedudukan pada minit ke-23 hasil bola tandukan Ismaheel Akinade selepas mendapat hantaran kemas Muhammad Akhyar Rashid.
Pada minit ke-43, Saddil menjaringkan gol kedua menerusi tandukan melepasi jangkauan penjaga gawang TRC, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin setelah mendapat hantaran Dinesh Rajasingam.
Pada minit ke-58, pasukan pelawat mendapat peluang menambah jaringan setelah Darren Lok melepasi kawalan pemain pertahanan tuan rumah, namun bola sepakannya tersasar dari pintu gol.
TFC yang ketinggalan mendapat peluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Muhammad Safawi Rasid tetapi terkena tiang gol pada minit ke-68.
Pada minit ke-83, TFC memperoleh gol penyamaan hasil sepakan sudut Muhammad Safawi yang gagal dikawal kemas penjaga gawang Sabah FC, Damien Khai Lim. – UTUSAN