PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih lagi ahli UMNO, walaupun beliau berhasrat untuk meninggalkan parti itu.
Beliau malah memberitahu sudah menasihatkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu agar tidak membuat keputusan tergesa-gesa untuk keluar UMNO.
“Memang beliau ada datang berjumpa. Saya telah memberikan pandangan parti agar beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan (keluar UMNO).
“Ini kerana, beliau (status) adalah seorang menteri dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta Ahli Majlis Tertinggi yang dipilih memegang jawatan itu.
“Beliau bersetuju dengan saya dan Insya-Allah setakat hari ini, beliau masih lagi ahli UMNO,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO di WTC, hari ini.
Baru-baru ini, wujud dakwaan Tengku Zafrul dijangka meninggalkan UMNO selepas tiada lagi masa depan politiknya dalam parti tersebut.
Perkara itu timbul selepas beliau dilaporkan media dipelawa menyertai PKR beberapa bulan lalu.