KEMAMAN: Seorang tenaga pengajar di sebuah institut kemahiran di daerah ini, ditahan reman selama enam hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes rogol terhadap pelajar perempuan, hujung tahun lalu.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 12.15 malam tadi selepas mangsa tampil membuat laporan polis, kira-kira pukul 3.38 petang semalam.
“Mangsa yang berusia 18 tahun mendakwa diperkosa tenaga pengajarnya pada tahun lalu. Polis turut merampas sebuah kereta dan beberapa barangan lain yang dipercayai milik suspek bagi membantu siasatan,” katanya hari ini. – UTUSAN