Tempoh Perdana Menteri 10 tahun diusul jika cukup dua pertiga

Tempoh Perdana Menteri 10 tahun diusul jika cukup dua pertiga

Perdana Menteri 10 tahun
ANWAR Ibrahim berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibawa ke Sidang Dewan Rakyat akan datang sekiranya usul tersebut mempunyai sokongan dua pertiga daripada ahli parlimen.

Ini kerana, cadangan tersebut melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengubah had tempoh jawatan nombor satu kerajaan itu seperti mana yang dinyatakan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan cadangan tersebut kerana bimbang jika tempoh jawatan tersebut diberikan lebih lama akan mencetuskan kerosakan kepada negara.

“Jangan bimbang, kalau saya tak mungkin lepas daripada 10 tahun, dua tahun pun sudah penat. Tetapi, dari segi bukan saya sahaja, malah Keadilan dan PH juga setuju. Tetapi, kita harus bina, itu yang dibincangkan soal rundingan dan kesepakatan.

“Kita kena terangkan dan dengar, kalau ada dua pertiga, ada persetujuan, sesi akan datang kita boleh pinda, tetapi jangan bawa usul kalau belum cukup kerana kalau pembangkang apa dia hendak kata pun kita tak boleh percaya, sebab dia boleh ubah. Fatwanya boleh berubah ikut masa,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 di sini, hari ini.

Jelas Pengerusi PH itu, proses tersebut tidak mudah seperti mana dilakukan pindaan melibatkan pemerkasaan wanita berkaitan isu kewarganegaraan serta akta lain iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Perolehan.

“Pemerkasaan wanita kerana bagi kita tidak munasabah, (istilah) parent dalam Perlembagaan negara kita bermakna bapa. Mana mungkin parent jadi bapa satu orang. Tetapi, itu termaktub dalam Perlembagaan, maka kita pinda, bapa dan ibu.

“Tetapi, proses pindaan itu tidak mudah, kita mesti dapat kesepakatan kesemua sekurang-kurangnya ada dua pertiga undi, kena bawa rujuk kepada Raja-Raja Melayu, ada juga beberapa pendirian pandangan mereka yang harus dibawa balik ke Parlimen,” tambahnya.

Selain itu, Anwar menegaskan Kerajaan Madani tidak sesekali mencampuri urusan membuat keputusan oleh badan kehakiman seperti mana dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, rundingan tetap berlaku atas prinsip kebenaran dan kelemahan dalam kalangan pimpinan termasuk Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta badan kehakiman ketika membuat keputusan.

“Saya hendak tanya, kes mana yang kita campur, keputusan mana yang saya cakap atau bincang dengan hakim. There is absolutely no interference in judicial decision, non what so ever, not even one that I speak to the judges, Ketua Hakim Negara atau pengamal kehakiman.

“Siapa tidak tahu Ketua Hakim Negara ulang-alik ke Pejabat Perdana Menteri. Siapa yang tidak tahu tentang laporan dan petua terhadap kebebasan badan kehakiman yang dikeluarkan pada tahun 2000, 2001, semua tahu.

“Bagi saya itu penting, kita tak campur, ada beberapa proses lain, kita bincang, harus kita ingat. Ini saya hendak sebut satu hal yang agak kontroversi, itu bukan bermakna Perdana Menteri, menteri semua itu betul. Ataupun ketua hakim dan hakim-hakim semuanya betul. Mesti ada pengawasan, mesti semak dan imbang,” jelasnya.

Kata Anwar lagi, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam Parlimen untuk menjawab kepada rakyat dan tidak boleh menganggap anggota kerajaan bebas dan tidak boleh dipersoalkan kerana yang akan dipersoalkan itu adalah Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya