PETALING JAYA: Seluruh rakyat Malaysia khususnya beragama Islam diajak untuk terus menekankan kepentingan mengangkat martabat insan iaitu karamah insaniah sempena sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui karamah insaniah ia akan menjadikan seseorang itu sebagai makhluk yang luhur dan merdeka, menjalinkan hubungan antara kaum dan penganut agama lain.
“Tanpa sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan menanam sikap ihsan serta kasih sayang antara kita, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan, keamanan, yang diharapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan di semua platform media sosial miliknya hari ini.
Perdana Menteri berkata, setelah sebulan melalui Ramadan al-Mubarak, menjalani madrasah ruhiyyah atau pun latihan tarbiyyah Ramadan sebagai wahana perjalanan kerohanian untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
“Mudah-mudahan dengan pembentukan nilai baharu, memberikan penegasan tentang disiplin, integriti dan juga kesihatan yang lebih baik.
“Di samping itu, terus lebih prihatin kepada nasib jiran kita, kariah kita dan masyarakat yang tersisih serta terbiar termasuklah apa yang berlaku bencana malapetaka kezaliman di Gaza, Palestin,” katanya.
Anwar berkata, sepanjang Ramadan ini, beliau berpeluang mengikuti siri Program Ihya’ Ramadan di beberapa kementerian, dan juga negeri serta daerah seperti Selising, Tawau, Chukai, dan lain-lain
Katanya, keistimewaan program itu adalah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan, dan usulan serta melihat keberkesanan kaedah pelaksanaan yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Perbandaran atau Kerajaan Tempatan.
“Kita terus menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi saya tegaskan bahawa kekuatannya akhirnya adalah kejayaan kita mengangkat taraf kehidupan rakyat terbanyak,” katanya.
Beliau juga tidak ketinggalan menyusun 10 jari memohon kemaafan daripada rakyat atas kekurangannya namun berikrar akan melakukan sebaiknya tanggungjawab diamanahkan.
“Mudah mudahan, Eid Mubarak pada kali ini disambut dengan kesedaran sedemikian, mengangkat martabat kita sebagai manusia yang lebih berwibawa, berakhlak mulia dan menjalankan tugas kita dengan penuh amanah,” katanya. –UTUSAN