PETALING JAYA: Tekanan kewangan seperti hutang peribadi yang tinggi merupakan antara punca polis terlibat dalam budaya rasuah ketika melaksanakan tugas.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, selain itu faktor mereka terlibat rasuah kerana budaya kerja dan kurangnya pemantauan ketat.
Katanya, pendekatan lebih tegas dalam membanteras rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilaksanakan termasuk latihan integriti sejak hari pertama, audit kewangan berkala dan pemakaian kamera badan secara menyeluruh.
“Anggota polis berdepan dengan peluang untuk menerima rasuah sepanjang masa sama ada daripada pemandu yang mahu mengelak saman, pihak berkepentingan dalam siasatan atau kumpulan jenayah yang cuba membeli pengaruh.
“Jika mereka dalam tekanan kewangan, godaan itu lebih sukar ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, ramai pegawai dan anggota polis berada dalam situasi kewangan kritikal akibat kos sara hidup tinggi serta pengurusan kewangan yang lemah.
“Hutang peribadi yang tidak terkawal mendorong mereka mencari jalan pintas. Ada yang terpaksa berhutang dengan lintah darat dan akhirnya terjebak dalam rasuah kerana mahu melangsaikan hutang dengan cepat,” katanya.
Sehubungan itu, Jais berkata, PDRM perlu mewajibkan setiap anggota mengisytiharkan status kewangan secara berkala bagi mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi terjebak dalam rasuah.
“Langkah ini bukan bertujuan menghukum, tetapi sebagai langkah pencegahan. Jika seseorang anggota dikesan mempunyai hutang melampau, bimbingan kewangan boleh diberikan sebelum mereka tergoda menerima suapan,” jelasnya.
Selain isu kewangan, MCW juga menekankan keperluan latihan integriti yang lebih ketat sejak hari pertama seseorang menyertai akademi polis.
“Latihan ini tidak boleh hanya bersifat teori. Anggota perlu didedahkan kepada simulasi realiti rasuah, dilema etika sebenar dan modul kawalan minda agar mereka benar-benar berpegang kepada prinsip integriti sepanjang 40 tahun perkhidmatan,” katanya.
Jais berkata, sistem perlindungan pemberi maklumat perlu diperketatkan agar anggota yang mahu melaporkan kes rasuah tidak berasa takut atau diugut.
“Kamera badan boleh menjadi mekanisme kawalan paling berkesan. Ia bukan sahaja mencegah salah laku, malah melindungi anggota polis daripada tuduhan palsu,” katanya.
Jais turut mencadangkan satu kajian menyeluruh selama lima tahun bagi mengenal pasti faktor sebenar yang mendorong rasuah dalam pasukan polis.
“Kita tidak boleh hanya menghukum tanpa memahami akar masalah. Kajian ini akan meneliti faktor ekonomi, budaya kerja serta tekanan sosial yang mempengaruhi keputusan anggota menerima suapan.
“Jika kita serius mahu membanteras rasuah, kita mesti bermula dengan memastikan pasukan polis adalah yang paling bersih,” tegasnya. – UTUSAN