SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung Mei depan.
Taufiq berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti di Sungai Petani terus kukuh, selari dengan tekad mempertahankan kemenangan di Parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang serta Sidam selain merampas semula DUN Pantai Merdeka.
“Sungai Petani adalah antara cabang terawal mengibarkan panji perjuangan PKR di Kedah sejak penubuhan parti pada tahun 1999. Dengan keanggotaan hampir 14,000 orang, cabang ini memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri.
“Maka dengan penuh takzim, saya menawarkan khidmat bakti dan bertanding sebagai calon Ketua Cabang PKR dalam pemilihan 2025. Saya mohon sokongan seluruh akar umbi PKR Sungai Petani agar kita dapat bergerak sebagai sebuah pasukan besar yang kukuh dan utuh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan pimpinan cabang serta bekas pemimpin yang telah berbakti kepada parti sepanjang perjuangan menegakkan keadilan dan reformasi di kawasan itu.
“Sudah tentu, setiap pencapaian oleh parti keramat ini perlukan jerih perih, usaha dan keringat pengorbanan para aktivis yang sentiasa memberikan komitmen penuh dalam perjuangan parti.
“Kita perlu merangkul kekuatan orang lama dan idealisme generasi pelapis yang baharu. Lawan kita bukanlah dalam keluarga besar PKR, tetapi medan perang sebenar adalah pada PRU16 dan parti lawan,” ujarnya.
Jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani kini disandang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min. – UTUSAN