Gelaran Miss Chatterbox menjadi inspirasi seorang remaja berumur 17 tahun apabila berjaya mencipta rekod dalam Asia’s Book of Records dengan bercakap hampir tiga jam tanpa henti dalam satu sesi pengucapan awam.
Bermula dengan pertandingan kecil sejak usia 10 tahun, Tanusya kini telah menyertai lebih 150 pertandingan dalam pelbagai kategori, termasuk cerpen dan puisi, serta beraksi di pentas antarabangsa.
Katanya, ia bermula dengan kegagalannya untuk menyertai pertandingan pengucapan awam yang pertama. Namun, dia diarahkan untuk menggantikan tempat seniornya dalam masa tiga hari sebelum pertandingan.
“Ia merupakan pertandingan antarabangsa dan saya hanya ada masa tiga hari untuk menulis, menghafal dan berlatih. Topik yang perlu saya sampaikan pula adalah berkaitan Matematik.
“Sebagai pelajar Tahun Empat, agak sukar untuk saya menulis skrip berkaitan topik tersebut. Namun, saya berjaya mendapat tempat pertama untuk sekolah saya,” tambahnya.
Tambah Tanusya, datuk saudaranya adalah inspirasi utama yang mendorongnya untuk menceburi dunia pengucapan awam.
“Sejak kecil, datuk selalu bagi buku-buku untuk saya baca dan dia tak pernah bosan berbual dengan saya.
“Dia juga yang selalu bercerita mengenai Universiti Harvard dan Oxford yang mendorong saya untuk bercita-cita dengan lebih tinggi,” kata pelajar SK Damansara Utama itu yang mempunyai impian untuk menjadi seorang peguam.
Tanusya berkata, mengenai Asia’s Book of Records yang dianugerahkan padanya, walaupun sudah biasa menyertai pertandingan, ini kali pertama dia cuba untuk bercakap tanpa berhenti dan hanya boleh berehat lima saat di antara ucapan.
“Saya hanya berehat dua atau tiga kali, selepas hampir tiga jam bercakap tanpa henti, sesuatu yang saya tak pernah lakukan sebelum ini.
“Biasanya, ucapan saya hanya sekitar tiga hingga lapan minit. Jadi apabila berlatih di rumah, saya tidak pernah berlatih secara berterusan sebab ia sangat meletihkan.
“Tempoh ini benar-benar satu cabaran besar, tapi lepas selesai saya rasa semua usaha itu berbaloi,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Menurut Tanusya, strategi memenangi pertandingan bukan sekadar menyampaikan ucapan, tetapi cara untuk menarik perhatian penonton dengan intonasi, ekspresi wajah dan elemen kejutan dalam penyampaian.
“Saya tidak menghafal teks sepenuhnya, sebaliknya fokus kepada isi utama dan menyampaikan dengan ekspresi yang berkesan untuk menarik perhatian penonton.
“Jika teks terlalu panjang untuk dihafal, saya akan bangun setiap pagi untuk baca berulang kali dan mengingati isi seterusnya berbanding menghafal setiap perkataan dalam skrip.
“Setiap pengucapan awam juga berlainan. Jika factual atau persuasive speech, saya perlu masukkan elemen humor dan fakta menarik supaya pendengar tertarik dan tidak bosan,” katanya.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang moto atau prinsip, dia memegang prinsip ‘Turn your setback into your comeback’ dalam kehidupan untuk terus kekal maju mencapai kejayaan dan tidak goyah dengan kegagalan.
“Prinsip ini bermaksud setiap cabaran atau kegagalan harus dijadikan batu loncatan untuk bangkit dengan lebih kuat,” katanya.
Bapanya, Manimuttu A/L Kuppusamy berkata, mereka sebagai ibu bapa sentiasa memberi peluang kepada Tanusya untuk mencuba pelbagai perkara sejak kecil agar dia dapat mengenal pasti minat dan bakatnya.
“Memandangkan dia anak tunggal, kami cuba untuk bagi peluang supaya dia dapat masuk dan merasai pelbagai hobi seperti tarian, tenis, badminton dan berenang.
“Ibu dia pula banyak bimbing waktu berlatih pengucapan awam, guna rakaman video untuk perbaiki cara penyampaian dan ekspresi wajah,” tambah Mani.
Kini, Tanusya sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard dalam bidang perundangan.
Tanusya berpesan bahawa apabila memasuki sesebuah pertandingan, jangan terlalu fokus untuk menang tetapi fokus untuk melakukan yang terbaik.
Katanya, setiap orang mempunyai pengalaman pertama yang berlainan, ada yang terus berjaya dan ada juga yang perlu bersusah payah dahulu untuk mendapatkan kejayaan.
“Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk berhenti namun akan letakkan akademik dan pelajaran sebagai keutamaan,” katanya.
Baru-baru ini, dia telah memenangi pertandingan pengucapan awam, WeVoi Spark yang dijalankan secara dalam talian dan berpusat di United Kingdom menduduki tempat pertama.