Tangguh pelarasan premium kekang kenaikan insurans - Utusan Malaysia

Tangguh pelarasan premium kekang kenaikan insurans

AHMAD ZAHID Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra Berhad di Tanjung Seratus, Kuala Rompin di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penangguhan pelarasan premium, pengagihan kadar pelarasan selain pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif merupakan antara beberapa langkah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).

Langkah itu dikenal pasti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, salah satu isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ialah peningkatan inflasi kos perubatan yang menyebabkan kenaikan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful.

“Bagi menangani perkara ini, beberapa langkah telah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium MHIT iaitu pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium selain pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif.

“Selain itu, inisiatif pembaharuan sektor kesihatan negara juga perlu disegerakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun  2024 hingga 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga akan mengambil langkah membangunkan produk asas insurans kesihatan dan takaful yang memfokuskan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

 “Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha pembaharuan sektor kesihatan negara yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan akses kepada rawatan perubatan lebih mampan,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan keperluan masyarakat sepanjang Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bahawa bekalan 11 komoditi agromakanan utama termasuk beras, kelapa, ayam dan telur ayam mencukupi.

“Kerajaan juga akan memperluaskan program jualan murah seperti Jualan Rahmah Madani, Jualan Pra Syawal di Pasar Tani dan Jualan Agro Madani bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan.

“Mesyuarat turut meneliti inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat,” jelasnya.

Antara inisiatif yang akan dipertingkatkan termasuk usaha memastikan pemadanan pekerjaan yang lebih cekap, menyediakan insentif kepada majikan bagi pengambilan pekerja daripada kumpulan yang lebih memerlukan serta memperkukuh perlindungan sosial. 

“Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran kos sara hidup termasuk melalui program peningkatan pendapatan, jualan murah, dan bantuan tunai. 

“Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya