KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengulangi cadangan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, cadangan itu antara pilihan yang akan dikemukakan dalam mesyuarat GRS yang berikutnya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata, setakat ini terdapat dua pilihan sama ada bertanding di 73 kerusi atau meneruskan GRS Plus iaitu bersama dengan rakan gabungan.
“Kita sudah hantar cadangan mengenai pembahagian kerusi ini. Kita ada formula tetapi ia belum dibincangkan. Jadi, tunggu mesyuarat selepas Aidilfitri, kita akan bincangkan.
“Walau bagaimanapun, kita mahu GRS menjadi dominan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pejabat Bahagian STAR Luyang di sini, hari ini.
Mengenai sokongan pengundi Cina, Jeffrey yakin kelompok itu memberi sokongan kepada GRS bagi memastikan kedudukan Sabah lebih kuat untuk mendapatkan kembali hak-hak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, biarpun ketika ini Sabah menerima pembayaran khas RM600 juta, namun ia hanya bersifat interim sementara menunggu keputusan berkaitan 40 peratus hasil yang perlu dikembalikan kepada negeri.
“Kita tidak mahu hanya menerima pembayaran interim sahaja. Kita harap kerajaan pusat akan memberi persetujuan terhadap cadangan kita dan selepas itu, kita boleh melantik penaksir bebas bagi memuktamadkan pembayaran hasil 40 peratus,” katanya. – UTUSAN