JOHOR BAHRU: Lelaki yang menampar seorang pemuda bukan Islam kerana makan di kedai serbaneka di sebuah pusat membeli-belah di sini, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000, jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Polis terima aduan daripada mangsa berusia 21 tahun pada pukul 9.08 malam semalam. Pengadu maklumkan telah ditampar dua kali di pipi kanannya oleh individu tersebut.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila pengadu enggan memberikan kad pengenalan apabila diminta oleh lelaki tersebut selepas bertanyakan agamanya,” katanya.
Balveer Singh meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian menghubungi talian 07-5563122. – UTUSAN