IPOH: Taktik licik dua lelaki menjual mercun dan bunga api secara ‘rahsia’ kepada orang ramai di gudang dekat Kanthan dan Klebang terbongkar selepas diserbu pasukan polis semalam.
Dalam serbuan itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan bersama pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM10,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, serbuan ke atas premis itu dijalankan selepas risikan dan intipan dilakukan selama seminggu.
Katanya, berdasarkan semakan, kedua-dua peniaga itu mempunyai permit menjual mercun dan bunga api namun melanggar syarat apabila menjual mercun yang tidak dibenarkan serta tiada dalam senarai permohonan.
“Rampasan dibuat di gudang di mana mercun-mercun ini disorok dan atas permintaan pelanggan barulah penjual pergi mendapatkan stok untuk dijual kepada pelanggan secara sembunyi.
“Mereka ada permit tapi yang dirampas adalah mercun yang tidak disenaraikan dalam senarai yang dipohon untuk diluluskan di mana mereka sebenarnya ada menyimpan stok lain,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Jelapang di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua lelaki terbabit akan direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Katanya, selain dua premis tersebut, pihaknya turut mendapati dua daripada 126 premis lain yang diperiksa gagal mematuhi syarat-syarat dalam penjualan mercun dan bunga api.
“Antara rampasan yang dibuat ialah mercun bola dan ‘happy boom’ di mana mercun ini memang tidak dibenarkan penjualannya kerana boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna,” katanya.
Tambah Abang Zainal, pihaknya menerima sebanyak 200 permohonan permit penjualan mercun dan bunga api namun hanya 126 permit diluluskan kepada pemohon.
“Setakat ini, tiada laporan diterima membabitkan kecederaan akibat mercun di daerah Ipoh,” katanya. – UTUSAN