PETALING JAYA: Taklimat harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) diadakan bukan untuk menggantikan tugas Fahmi Fadzil selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, peranan taklimat harian oleh PMO tidak bertindih dengan tugas Fahmi yang juga merupakan Menteri Komunikasi.
Menurutnya, taklimat tersebut hanya memberikan tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa yang mendesak.
Jelasnya, ia juga bagi memberi arahan kepada kementerian dan agensi bagi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun serta berkesan.
“Manakala, peranan Fahmi pula selaku Jurucakap Kerajaan Madani, bertanggungjawab untuk memastikan segala penjelasan isu dan persoalan yang membabitkan dasar-dasar kerajaan serta keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dimaklumkan kepada rakyat.
“Taklimat harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi Kerajaan Madani.
“Dengan strategi komunikasi lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, di samping mencatas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas serta berkesan,” katanya dalam taklimat harian PMO yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Terdahulu, Anwar dilaporkan bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian PMO yang disiarkan secara langsung sebanyak dua kali setiap hari menerusi akaun Facebook rasminya dan PMO.
Usaha tersebut dilakukan bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.
Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mengambil maklum isu melibatkan beras putih tempatan (BPT) yang sedang menerima perhatian.
“Beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan BPT di pasaran.
“Pemulihan ini sedang dilaksanakan secara berfasa, beliau juga telah mengarahkan kementerian yang terlibat untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara terus kepada masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN