MELAKA: Hasrat seorang remaja lelaki untuk makan bersama sepupunya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda, Umbai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, mangsa, Ibnu Hakiki Abdul Rahman, 18, menunggang motosikal jenis Yamaha NVX, maut di tempat kejadian manakala sepupunya berusia 17 tahun, yang membonceng motosikal terselamat, namun mengalami luka dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat, berkata kejadian berlaku ketika mangsa dan sepupunya dalam perjalanan dari arah Umbai menuju ke Serkam.
“Mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kereta, namun gagal mengelak lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Serkam turut terlibat dalam kemalangan itu apabila membelok ke kanan menuju ke Jalan Muhibah,” katanya.
Penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN