Tak perlu gantung tugas, mereka ada keluarga untuk disara - Shahrol Shiro - Utusan Malaysia

Tak perlu gantung tugas, mereka ada keluarga untuk disara – Shahrol Shiro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Shahrol Shiro memuji kesungguhan penyampai radio, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin cuba menjernihkan keadaan dengan memohon maaf selepas menyentuh sensitiviti agama Hindu, semalam.

Salah, tetap salah, Shahrol bagaimanapun tidak menyokong tindakan tiga penyampai radio program 3 Pagi Era itu mempersendakan agama lain seperti yang pernah dibahasnya sebelum ini.

“Radin, Azad dan Nabil, video yang viral hari ini (semalam) memang jelas mereka bersalah sebab hina agama lain. Satu tindakan tepat yang mereka buat adalah memohon maaf.

“Daripada pagi mereka bertiga minta maaf di konti radio. Kemudian, pergi pula ke Batu Caves untuk meminta maaf di sana dan pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk dirakam kenyataan. Kemudian mereka akan ke Balai Polis Bukit Aman pula,” katanya.

Shahrol mengulas perkara itu menerusi sebuah hantaran video di Instagram, malam tadi.

Simpati dengan nasib rakan seperjuangannya itu, Shahrol turut berpendapat pihak pengurusan EraFM tidak sepatutnya menggantung tugas mereka sebagai penyampai radio.

Kata Shahrol, mereka masih mempunyai keluarga untuk disara dan Era sewajarnya mengambil tindakan selepas siasatan selesai.

“Satu hari yang sangat panjang untuk mereka. Mereka juga telah pun digantung tugas sebagai penyampai radio. Mereka sudah minta maaf, mereka juga sudah dalam siasatan. Sepatutnya bagilah masa sehingga siasatan itu lengkap barulah Era ambil tindakan.

“Kalau boleh pertimbangkan tak perlulah gantung tugas mereka. Mereka ada keluarga yang perlu mereka sara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shahrol berharap isu ini menjadi pengajaran buat setiap individu supaya lebih cakna dalam menjaga sensitiviti antara kaum di Malaysia.

“Kepada mereka bertiga dan semua yang terlibat, ingatkan supaya jadikan isu ini sebagai teladan dan ambil ikhtibar. Di dalam Malaysia ini yang paling penting adalah kita hormat-menghormati sesama kita,” tegasnya.

Terdahulu, Shahrol dilihat lantang mempertahankan isu berkaitan sensitiviti agama susulan kes KK Mart serta kontroversi yang melibatkan pelawak, Harith Iskander dan pengguna media sosial, Cecelia Yup yang mempersendakan agama Islam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN