KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud tidak mahu Sabah menjadi punca keretakan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah ujian pertama kerajaan Madani.
Beliau berkata, Sabah adalah ujian pertama kerajaan Madani dalam menghadapi beberapa siri PRN yang akan datang maka, beliau tidak mahu keretakan berlaku dalam menghadapi pilihan raya di negeri ini.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, itu sebabnya PKR mahu mengelak berlaku pertembungan kerusi dengan rakan kerjasama mereka kerana jika berlaku pergeseran, ia dikhuatiri akan menjadi punca keretakan.
“Maka, penting bagi kita untuk memastikan kerajaan Madani ini terus dipertahankan sebab kita mahu melanjutkan (pemerintahan) untuk penggal yang kedua.
Kita mahu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekali lagi bagi penggal yang kedua.
“Jadi kita tidak mahu Sabah ini jadi punca keretakan, kalau tidak ia akan menambah retak di mana-mana,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat biro politik PKR Sabah, semalam.
Selepas PRN Sabah, mereka akan menghadapi PRN di Melaka dan Sarawak sebelum berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16). – UTUSAN