KUALA LUMPUR: Memberi reaksi lega, pelakon, Diana Danielle, 34, bagaimanapun enggan menjadikan perceraiannya dengan bekas suami, Farid Kamil, sebagai batu penghalang untuk anak-anak bertemu bapa mereka.
Menurut Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, sebagai ibu bapa , dia berharap Farid juga memainkankan peranan dan tanggungjawab penting selain meletakkan keutamaan kepada dua anak mereka.
“Walaupun sudah berpisah, saya tak rela menjaga anak seorang diri. Saya juga tak pernah merancang untuk menyimpan anak hanya untuk diri sendiri atau menyusahkan pihak bekas suami.
“Anak-anak perlukan ibu dan ayah. Jadi, kami cuba memudahkan urusan mereka. Keadaan sudah cukup sukar, jadi jangan kita terus menyukarkan lagi,”katanya.
Diana berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Selain itu, Diana berkata, dia juga tidak menghalang bekas suaminya itu bertemu dengan anak-anak pada bila-bila masa mengikut kesesuaian waktu.
“Alhamdulillah, anak-anak setakat ini mereka tidak menunjukkan apa-apa keadaan yang membimbangkan.
“Tiada sekatan dalam perhubungan, baik dari segi talian mahupun perjumpaan. Bila-bila masa saja boleh bertemu.
“Semoga hubungan ini terus erat demi anak-anak,”katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Diana berkata, dia tidak kisah anak-anak pulang ke kampung Farid terlebih dahulu untuk berhari raya.
Ini kerana, katanya, rumah bekas mentuanya di Sungai Petani, Kedah lebih meriah sambutan hari raya berbanding di kediamannya di bandar.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya keadaan menjadi lebih mudah. Farid pun boleh membawa anak-anak balik kampung.
“Bila status sudah jelas, ia sebenarnya menyenangkan keadaan bagi saya sebagai seorang wanita.
“Anak-anak akan beraya dengan Farid dahulu. Saya tidak kisah mereka beraya di mana dulu kerana suasana di sebelah Farid lebih berkonsepkan kampung, manakala saya pula akan beraya di Kuala Lumpur,”katanya.
Dalam pada itu, Farid ketika ditanya mengenai penjagaan anak-anak, dia berkata perkara tersebut tiada masalah memandangkan segalanya telah dipersetujui pihak Diana.
“Berkaitan anak anak, tiada masalah kerana seperti yang dipersertujui, pihak ibu akan menjaga anak-anak dan Alhamdulillah sampai sekarang kita tiada apa apa masalah.
“Saya harap perkara tersebut akan berkekalan insya-Allah,”katanya.
Konflik rumah tangga antara Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan selebriti popular itu disahkan telah bercerai talak satu pada pagi tadi.
Lafaz cerai itu telah dilakukan Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, terhadap Diana di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamaruddin. -UTUSAN