PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menepis dakwaan mengenai dakwaan 14 Ahli Parlimen UMNO kononnya menarik sokongan kepada Kerajaan Madani seperti tersebar di media sosial.
Jalaluddin berkata, sebarang provokasi dan penyebaran bahawa terdapat Ahli Parlimen UMNO berpaling tadah adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, semua wakil rakyat UMNO terikat dengan perjanjian dan akujanji bahawa mereka terikat dengan bon RM100 juta.
“Tak betul dan tak benar, saya pun tidak dengar apa-apa mengenai dakwaan itu.
“Perlembagaan UMNO sudah dipinda pada 13 Januari 2023 bagi menghalang Ahli Parlimen parti bertindak membelakangi apa juga keputusan termasuk menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.
“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Bantuan Fokus Kesejahteraan Rakyat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu semalam.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menegaskan sebarang dakwaan di media sosial mengenai perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
Tambahnya, sejak dahulu, ‘penghijrahan’ 14 Ahli Parlimen itu sering dibangkitkan sehingga hari ini tanpa jemu oleh pihak tertentu.