KUALA LUMPUR: Penyanyi, Umairah atau mesra disapa Umai, kini tampil dengan single raya sulung yang berjudul, Tak Balik Raya.
Enggan melepaskan tuah, Umai memberitahu dia sangat teruja dan seolah jatuh cinta selepas mendengar demo lagu raya tersebut buat pertama kali.
“Tak Balik Raya merupakan lagu dan lirik ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. Seakan-akan jatuh cinta pandang pertama, demo lagu raya yang diberikan beberapa bulan lalu telah menambat hati Umairah.
“Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkan lagu ini. Muzik dan emosi lagu ini juga sesuai dengan usia remaja saya,” katanya.
Umai yang kini bernaung di bawah syarika, SN Legacy Sdn Bhd juga sempat berkongsi lagu terbaharunya itu berkisarkan tentang dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja.
Katanya lagi, lagu ini bukan sahaja menyampaikan emosi rindu dan sayu tetapi menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar.
“Walaupun liriknya menyentuh hati tetapi ada nada memujuk dengan kemajuan teknologi terkini, anak-anak masih dapat menghubungi keluarga dengan pelbagai cara seperti menelefon dan sebagainya.
“Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan `teaser’ atau petikan awal lagu ini, saya menerima komen positif dari warganet. Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya sebagai artis baharu dalam industri muzik,’’ katanya.
Sekadar info, lagu ini telah dilancarkan di semua platform penstriman digital sejak semalam.
Manakala, video muziknya bakal dilancarkan di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada 7 Mac ini, bermula 9 malam.
Video muzik terbitan Rio Films dan araham oleh Rifaiee Rio itu turut menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakannya di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.-UTUSAN