Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.25% bagi 2024

Tabung Haji umum agihan keuntungan 3.25% bagi 2024

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat lebih tinggi sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, berbanding 3.1 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion pada 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH selepas mengambil kira bayaran zakat sebanyak 2.57 peratus (RM99.35 juta).

“Kadar agihan keuntungan 2024 yang lebih baik ini adalah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018, dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun 2024, disamping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.

“Prestasi kewangan kekal kukuh walaupun TH merekodkan rosot nilai ke atas pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi yang dilakukan sebelum 2018,” ujarnya,” katanya dalam sidang akhbar Agihan Keuntungan 2024 Tahung Haji di sini hari ini.

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad 23 Mac 2025 menerusi platform THIJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Pendeposit tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas akaun di TH memandangkan TH telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit.

TH juga mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit untuk 2024.

Jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM1.47 bilion sehingga kini.

Jumlah zakat TH diselaraskan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

Mohd. Na’im berkata, pelunasan zakat itu secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.

“TH telah menyantuni lebih 670,000 asnaf di seluruh negara pada tahun 2024 melalui Program Zakat Wakalah di mana TH menjadi wakil kepada MAIN untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada asnaf.

“Secara keseluruhannya, lebih 2.2 Juta asnaf telah menerima manfaaat dari Program Zakat Wakalah TH dalam tempoh sedekad yang lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN