KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjadikan Pelita Raya Terengganu sebagai acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program Pelita Raya Terengganu mampu menarik lebih pelancong ramai pelancong asing menerusi penyertaan peserta dari negara-negara luar negara.
Katanya, antara negara luar yang menyertai program tradisional itu pada tahun ini ialah Thailand, Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.
“Kerajaan negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berbesar hati sekiranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia dapat menjadikan program Pelita Raya Terengganu ini sebagai acara utama dalam kalendar acara TMM 2026,” karanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Pelita Raya Terengganu 2025 yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini, semalam.
Razali berkata, jumlah pengunjung yang direkodkan hadir memeriahkan program tersebut yang bermula dari 13 hingga 16 Mac lalu ialah seramai 170,000 orang. – UTUSAN