PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin akan ada pengakhiran yang baik untuk warga Muar dalam masa terdekat berikutan respons positif daripada kerajaan berhubung peruntukan di kawasan parlimennya.
Beliau berkata, ia merupakan usaha yang berbaloi setelah apa yang dilakukan selama ini, namun dalam masa yang sama turut menjelaskan yang beliau bersedia untuk melakukan apa sahaja demi kebajikan warga Muar seluruhnya.
“Saya terima berita baik yang dikeluarkan semalam secara positif dalam tempoh terdekat ini akan ada pengakhiran yang baik bagi warga muar, bagi kebajikan warga Muar.
“Jika pengakhiran itu tiba, saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan bahawa kebajikan warga muar dijaga dan dibela,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Syed Saddiq dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya berikutan kesediaan kerajaan mempertimbangkan permohonannya itu.
Jelas Fadillah, ketika ini pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan draf perjanjian dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Syed Saddiq turut berkata, beliau sudah pasti akan melakukan apa sahaja demi menjaga kebajikan warga Muar.
Ini kerana jelasnya, beban yang dipikul itu merupakan satu tanggungjawab dan ia perlu digalas dengan baik berikutan mandat yang diberi kepadanya setelah memenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya dari awal lagi menerima cadangan kerajaan untuk berunding demi peruntukan kawasan parlimen. Kalau ada keperluan untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU), saya bersedia,” katanya bekas Menteri Belia dan Sukan itu. – UTUSAN