PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman di sini, pagi ini bagi hari kedua pendengaran rayuan berhubung sabitan dan hukuman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba kira-kira pukul 10.20 pagi dengan memakai sut berwarna hitam dan diiringi dua pegawainya.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu juga sempat menyapa pemberita yang menunggu kehadirannya sebelum masuk ke bangunan mahkamah.
Terdahulu, kedua ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz bersama ahli keluarga yang lain turut hadir sekitar pukul 9.25 pagi bagi memberi sokongan.
Semalam, Mahkamah Rayuan mula mendengar hujahan daripada pihak pembelaan Syed Saddiq yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan berkaitan dana Armada.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin berkata demikian ketika prosiding bermula pada pukul 12.15 tengah hari.
Ahmad Zaidi berkata, mahkamah akan mendengar hujahan Syed Saddiq selaku perayu terlebih dahulu yang kemudian hujahan daripada pihak pendakwaan selaku responden disambung hari ini.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta. – UTUSAN