Syed Saddiq akui sedikit kecewa

Syed Saddiq akui sedikit kecewa

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman ketika meninggalkan Istana Kehakiman, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui sedikit kecewa selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menangguhkan kepada 17 April depan bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq berkata, bagaimanapun beliau tetap menghormati pihak pendakwa raya khususnya institusi kehakiman yang merupakan benteng terakhir bagi demokrasi di negara ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat pasukan pendakwaan.

“Saya doakan mereka cepat pulih. Pada masa yang sama, tipu lah kalau saya kata bahawa saya tidak terkesan atau tidak kecewa sebagai salah seorang yang sudah lima tahun menuntut keadilan dan kebenaran,” katanya menerusi sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan di sini hari ini menangguhkan kepada 17 April bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuan ahli Parlimen Muar itu bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada yang dihadapinya.

Syed Saddiq merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang sedang berhujah bagi pihak responden hari ini, tidak dapat meneruskan hujahan selepas beliau tiba-tiba ‘hilang suara’.

Sehubungan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin menangguhkan prosiding.

Menurut Syed Saddiq, pada peringkat awal beliau benar-benar berharap bahawa dua hari yang telah ditetapkan oleh mahkamah iaitu semalam dan hari ini menjadi pengakhiran kepada penantiannya.

“Saya hanya berharap bahawa proses ini tidak akan ditangguh dan keadilan akan menang. Saya doakan yang terbaik bukan sahaja untuk saya tetapi supaya pihak pendakwa raya kembali pulih secepat mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya