PUTRAJAYA: Tindakan bekas Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Sayed Abdul Rahman mengarahkan bekas Penolong Setiausaha dan Bendahari Armada Bersatu mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun parti kononnya bagi tujuan politiknya jelas menunjukkan niat jahatnya.
Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah menyatakan, tindakan dan perlakuan Syed Saddiq sebelum dan selepas arahan pengeluaran itu telah menyebabkan berlakunya tindakan oleh saksi-saksi pendakwaan lain.
Tindakan terang-terangan yang dilakukan Syed Saddiq bermula sebelum pengeluaran wang RM1 juta pada 6 Mac 2020 sehinggalah selepas 28 Mei 2020 apabila perayu (Syed Saddiq) tidak memegang apa-apa jawatan dalam Bersatu atau Armada.
“Arahan yang diberikan oleh perayu kepada SP13 (bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali) itu mempunyai kaitan rapat dengan Langkah Sheraton. Keterangan SP11 (bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi) dan Rafiq menyatakan Syed Saddiq khuatir tentang pertukaran pucuk pimpinan dalam Bersatu atau Armada sebelum pengeluaran wang RM1 juta.
“Perayu seolah-olah menjadikan wang di dalam akaun Armada tersebut seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja dan tidak memaklumkan sama ada perayu sudah mendapat kelulusan daripada sesiapa untuk mengeluarkan wang tersebut.
“SP13 sebenarnya menjadi alat kepada Syed Saddiq. Ahli-ahli kumpulan WhatsApp (juga) dijadikan alat untuk perayu bersihkan imejnya sehingga sanggup mengheret ibu-bapanya dalam masalah yang perayu sendiri menjadi puncanya,”katanya.
Tambah Wan Shaharuddin, wang RM650,000 daripada RM1 juta yang dikatakan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 hanya diagihkan selepas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bermula.
Pada Mac 2020, Syed Saddiq membuat laporan polis atas kecurian wang sebanyak RM250,000 di kediamannya. Beliau bagaimanapun menafikan wang tersebut adalah milik parti sebaliknya wang miliknya dan kedua ibu bapanya bagi tujuan ubah suai rumah.
Wan Shaharuddin turut menghujahkan Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memanggil Syed Saddiq untuk membela diri.
Ini kerana menurutnya hakim bicara itu mempunyai alasan kukuh untuk memerintahkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk menjelaskan mengapa beliau menyatakan wang dalam akaun Armada adalah hasil titik peluhnya dan berhak menggunakannya.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada langsung penjelasan Syed Saddiq mengenai perkara itu di mahkamah.
Berhubung kredibiliti saksi, Wan Shaharuddin menyatakan dakwaan bahawa saksi-saksi pendakwaan telah berbohong tidak boleh diterima tanpa sebarang alasan atas kenapa mereka bertindak sedemikian.
Jelas Wan Shaharuddin, tanpa sebarang alasan bagi menyokong dakwaan tersebut, ia hanyalah satu spekulasi.
Hujahan balas pihak pendakwaan bagaimanapun tidak dapat diteruskan selepas Wan Shaharuddin tiba-tiba `hilang suara’.
Pendakwa raya itu sebelum ini memaklumkan mahkamah bahawa beliau mengalami sakit tekak sejak pagi tadi.
Prosiding bersambung 17 April ini. – UTUSAN